malaysiakini logo
story-image
ADS

Bagi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, keutamaannya sebagai pemangku menteri pendidikan adalah untuk mengkaji masalah-masalah dalam sistem pendidikan negara.

"Saya perlu kaji masalah terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

"Ada banyak masalah dalam Kementerian Pendidikan, jadi saya perlu tahu kenapa masalah berlaku dan mencari penyelesaiannya," katanya hari ini ketika ditemui pemberita ketika lawatan gudang kontraktor Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT), Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd di Serendah, Selangor hari ini.

Mahathir menjawab soalan pemberita berkenaan keutamaan segeranya untuk kementerian itu. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berkenaan masalah-masalah dalam kementerian itu.

Berhubung soalan pemberita berkenaan pemisahan antara kementerian pendidikan dengan kementerian pengajian tinggi, beliau berkata akan menimbangnya.

Jawapan sama diberikan berhubung cadangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika memangku jawatan itu.

"Kita kajilah," katanya.

Terdahulu, Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu berkata telah melengkapkan laporan akhirnya dan menunggu untuk menghantarnya kepada menteri pendidikan baru.

Mahathir memangku jawatan itu pada 3 Januari lalu, sebaik selepas peletakan jawatan Dr Maszlee Malik.

Beliau pernah menjadi menteri pendidikan pada 1974 sehingga 1977.

Lihat Komen