BERITA

Najib arah beli semula Merdeka Palace Hotel, kata saksi

13 Jan 2020, 10:23 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menerima arahan daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya membeli semula Merdeka Palace Hotel & Suits (MPHS) di Kuching, Sarawak selepas cadangan pembeliannya ditolak Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Bekas Pegawai Khas Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip, 53, ketika membacakan penyataan saksinya berkata arahan itu diterima Mohd Isa menerusi panggilan telefon daripada bekas Perdana Menteri itu pada Mac 2014 ketika di Lobi Parlimen.

Muhammad Zahid berkata beliau ada terdengar perbualan Mohd Isa yang berkata, “Memang pun BOD (Ahli Lembaga Pengarah) sudah tolak...kalau you suruh, I buatlah... Tiada masalah, apa kata you lah, I buat...”

“Kemudian, Mohd Isa berpaling kepada saya memberitahu, ‘Yid (Muhammad Zahid), Perdana Menteri (Najib) suruh buka balik, kena beli balik hotel Sarawak tu, ni nak kena panggil Mohd Zaid Abdul Jalil (Ketua Pegawai Eksekutif FICSB)’.”

“Saya terkejut kemudian berkata kepada Tan Sri Isa, ‘Oh! Iya ke PM (Perdana Menteri) suruh buka balik’. Saya faham Tan Sri Isa maksudkan PM merujuk kepada Najib iaitu Perdana Menteri ketika itu,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata demikian ketika membaca penyataan saksi pada hari ke-14 perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa berhubung pembelian MPHS oleh FICSB di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Muhammad Zahid berkata keesokan harinya, selepas Mohd Zaid bertemu dengan Mohd Isa, beliau singgah ke bilik Mohd Zaid dan memaklumkan mengenai pembelian semula MPSB.

“Saya bertanya kepada Zaid, “Macam mana you nak buka, sedangkan BOD dah tolak? Mohd Zaid menjawab, “Nak buat macam mana, ini arahan PM, kita kena buat la. Saya menjawab, ok”,” katanya.

Muhammad Zahid yang memegang jawatan sebagai pegawai khas Mohd Isa selama enam tahun sejak 2011 itu berkata semasa di pejabat Felda, Mohd Isa bertanya adakah bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) Ikhwan Zaidel ada menghubunginya.

"Tan Sri bertanya kepada saya, "Ada Sarawak tu call? saya faham 'Sarawak' itu merujuk kepada Ikhwan dan Ibrahim Baki. Saya jawab "tidak".

"Tan Sri Isa kemudian berkata "Kau call lah diaorang, kirim salam tanya khabar. Saya faham apa yang Tan Sri Isa maksudkan. Ia bukan sekadar salam biasa dan sebenarnya Tan Sri Isa minta saya hubungi Ikhwan untuk dapatkan dana politik.

"Saya pun menghubungi Ikhwan untuk dapatkan dana politik. Saya menghubungi Ikhwan dan maklumkan bahawa Tan Sri Isa kirim salam. Ikhwan memberikan respons kepada saya dan menyatakan "Oh..tak apa...nanti kita jumpa," kata Muhammad Zahid.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa, ditanya adakah saksi bersetuju bahawa maksud sampaikan salam itu pada pemahaman beliau ialah meminta duit, adalah tidak berasas, Muhammad Zahid menjawab: "Tidak Setuju".

Salehuddin: Adakah kamu setuju bahawa Tan Sri Isa minta duit (RM3 juta), itu adalah rekaan kamu sahaja.

Muhammad Zahid: Saya tidak setuju Yang Arif.

Mohd Isa, 71, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen