malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perancis, Jerman, UK gesa Iran patuhi semula perjanjian nuklear 2015
ADS

GLOBAL | Pemimpin Perancis, Jerman dan United Kingdom pada Ahad menggesa Iran untuk kembali mematuhi sepenuhnya perjanjian nuklear 2015 dan mengelak daripada terus mengambil tindakan yang boleh mencetuskan keganasan serta memburukkan lagi keadaan, lapor agensi berita Anadolu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabat Presiden Perancis Emmanuel Macron, ketiga-tiga negara itu "tetap komited" kepada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

"Kami menggesa Iran untuk menarik balik semua langkah yang tidak selaras dengan perjanjian itu dan kembali mematuhinya," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas laporan mengatakan Iran sedang memulakan semula aktiviti pengayaan uranium.

"Kami menyeru Iran mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh mencetuskan lagi kekacauan dan kami bersedia untuk bekerjasama dengan Iran berhubung isu itu demi untuk memelihara kestabilan rantau ini," tambah kenyataan itu.

Ketegangan di rantau itu semakin meruncing berikutan kematian komander tertinggi tentera elit Iran Qassem Soleimani yang yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat (AS) berhampiran lapangan terbang Baghdad, baru-baru ini.

Iran bertindak balas dengan menembak peluru berpandu menyasarkan kawasan penempatan tentera AS di pangkalan tentera Iraq.

Ketiga-tiga pemimpin negara itu juga berkata peristiwa baru-baru ini telah memperlihatkan "peranan Iran dalam mewujudkan ketidakstabilan" di rantau tersebut.

Mereka sepakat mengatakan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keselamatan sekutu dan rakan kongsi di rantau itu.

-Bernama

Lihat Komen