BERITA

Saksi dakwa dengar Isa dapat arahan 'dari PM'

B Nantha Kumar

13 Jan 2020, 6:44 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Mahkamah hari ini diberitahu, Najib Razak memberi arahan kepada Felda untuk membeli Hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak selepas Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation (FIC) menolak cadangan pembelian hotel Gegasan Abadi Sdn Bhd itu.

Muhammad Zahid Md Arip, 53, yang merupakan bekas pembantu khas kepada bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Samad, antara 2011 hingga 2016, mengesahkan FIC menimbang semula pembelian hotel selepas menerima arahan daripada Najib.

"Pada Mac 2014, saya pergi ke parlimen untuk mengiringi Tan Sri Isa (ketika itu menjadi ahli parlimen Jempol).

"Semasa berada di lobi, Tan Sri Isa mendapat satu panggilan telefon, saya terdengar perbualan Tan Sri Isa antara lain beliau berkata: Memang pun BOD (Lembaga Pengarah) FIC sudah tolak... Kalau you suruh, I buatlah... tak ada masalah, apa kata you-lah, I buat.

"Lebih kurang macam itu perbualan yang saya dengar keluar dari mulut Tan Sri Isa," kata Zahid semasa memberi keterangan dalam perbicaraan kes tuduhan rasuah dan salah guna kuasa Isa berhubung pembelian Hotel Merdeka Palace oleh FIC pada 2014.

Hotel berkenaan dibeli pada harga RM160 juta, atau RM7 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Nah ambik sikit

"Kemudian, Tan Sri Isa berpaling kepada saya memberitahu: Yid, PM suruh buka balik, kena beli balik hotel Sarawak tu, ni kena panggil Zaid Jalil ini.

"Saya terkejut kemudian berkata kepada Tan Sri Isa: Oh, ya ke PM suruh buka balik?" katanya sambil menambah, mengikut apa yang difahaminya, PM yang dimaksudkan Isa merujuk kepada Najib.

Zahid kini ialah setiausaha politik kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Beliau merupakan saksi ke-21 dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Isa dituduh menerima rasuah RM3 juta daripada seorang bekas pengarah Gegasan Abadi sebagai suapan atas pembelian hotel berkenaan.

Isa Samad

Sebelum ini, bekas ketua pegawai eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil, pernah memberitahu mahkamah bahawa FIC menimbang semula pembelian hotel tersebut selepas diberitahu oleh Isa agar berbuat demikian kerana mendapat arahan "daripada PM".

Sementara itu, Zahid juga berkata beliau menerima RM10,000 hingga RM50,000 sebanyak beberapa kali daripada Isa selepas menyerahkan wang diberikan oleh Gegasan Abadi kepadanya.

"Kadang-kadang ada dua tiga kali selepas saya menyerahkan wang yang diberikan oleh Haji Ihkwan (bekas pengarah Gegasan Abadi) kepada Tan Sri Isa, beliau menelefon saya dan meminta saya untuk datang ke biliknya.

"Beliau ada berkata: Nah, ambik sikit.

"Tan Sri Isa ada beri saya wang lebih kurang RM10,000 hingga RM20,000 dan ada ketikanya RM50,000 walaupun saya tidak pernah meminta apa-apa daripada beliau," kata Zahid.

Perbicaraan yang masuk hari ke-14 hari ini diadakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.  

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen