malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Mengapa sertai parti Cina seperti DAP?'
Diterbitkan:  Jan 13, 2020 12:52 PM
Dikemaskini: 7:44 AM
ADS

Pengerusi DAP Kelantan yang baru dilantik Zaid Ibrahim akan berjumpa dengan penduduk dari Kampung Chap di negeri pantai timur itu hujung minggu ini.

Bekas menteri undang-undang itu dilahirkan dan dibesarkan di kampung itu yang terletak di daerah Bachok. Daerah itu juga pernah melahirkan tokoh politik seperti bekas menteri Mustapha Mohamed dan setiausaha agung Umno, Annuar Musa.

Zaid memberitahu Malaysiakini bahawa beliau menjangkakan akan berdepan beberapa soalan sukar, seperti ada yang ingin mengetahui alasannya menyertai DAP, yang dilihat sebagai "parti Cina" walaupun parti itu terdiri daripada berbilang kaum.

"Saya harap dapat menangani isu ini dengan memberitahu mereka bahawa jika mereka semua menyertai saya, maka DAP tidak lagi akan menjadi 'parti Cina'.

"Ada juga dijangka akan tanya jika saya adalah pemimpin anti agama. Saya akan jelaskan ini tidak benar. Saya hanya menentang idea bahawa jika kamu adalah ustaz atau mufti, kamu arif tentang segala-galanya mengenai dunia," katanya.

Sebagai wakil DAP di Kelantan, yang dianggap sebagai kubu PAS, Zaid berkata beliau mempunyai misi ‘dua-serampang’.

“Untuk menjelaskan kepada orang Melayu bahawa DAP adalah parti politik biasa, tidak berbahaya kepada orang Melayu. Saya juga akan pujuk pemimpin DAP yang jadi menteri untuk berusaha (membuat pembangunan) untuk membantu negeri seperti Kelantan," katanya.

Untuk bahagian kedua, Zaid mengakui adalah menjadi satu cabaran untuk meyakinkan para menteri persekutuan untuk berusaha sedaya upaya bagi membantu negeri itu.

"Ini adalah tabiat sejarah yang perlu diubah. Pada tahun 1990, kerajaan persekutuan telah hilang pegangan mereka ke atas Kelantan dan sejak itu negeri itu terus berada di bawah pentadbiran PAS.

"Ini berlaku kerana dasar cetek pemimpin-pemimpin persekutuan lalu yang 'menghukum rakyat' kerana mengundi PAS," katanya.

Akibat kekurangan dana pembangunan, Zaid, berkata, pemimpin PAS, yang diketuai oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat menawarkan sesuatu yang berbeza kepada rakyat Kelantan - agama.

"Ketika itu kita sering mendengar ungkapan 'rakyat Kelantan tidak perlukan pembangunan', mereka tidak peduli dengan perkara-perkara berkaitan duniawi.

"Ia tidak semestinya betul kerana 800,000 orang Kelantan berada di Lembah Klang mencari keselesaan dan kekayaan. Apa yang tidak mereka lakukan adalah tunduk kepada kehendak pemimpin sebagai pertukaran mendapatkan wang.

"Saya berharap para pemimpin persekutuan hari ini akan meninggalkan pendekatan lama berkenaan dengan tidak membangunkan negeri-negeri yang dikuasai oleh parti-parti pembangkang.

"Pendekatan itu telah gagal selama 30 tahun, dan ia akan gagal lagi. Kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab harus bersikap adil kepada semua negeri, walaupun ia dikuasai oleh pembangkang. Kita harus membangunkan negara tanpa mengira parti mana yang menguasai kerajaan negeri," katanya.

Zaid berkata engan menyalurkan lebih banyak dana pembangunan dan projek infrastruktur ke Kelantan, orang Melayu akan melihat persekitaran mereka berubah dan hidup bertambah baik.

"Apabila ini berlaku, mereka akan melihat dunia dan DAP dalam cahaya yang berbeza. Apabila negeri mempunyai lebih banyak kemudahan, orang akan mempercayai saya apabila saya beritahu mereka bahawa Pakatan Harapan adalah kerajaan progresif dan gabungan politik.

"Lagipun, dalam era 'kemakmuran bersama' ini, sudah tiba masanya kita memperbetulkan pembangunan berat sebelah di negara ini, yang selama bertahun-tahun tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Johor. Masanya bagi Kelantan, Terengganu dan Pahang mendapat bahagian yang adil," katanya.

Lihat Komen