malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shafie umum pejabat daerah baru di Kimanis
Diterbitkan:  Jan 12, 2020 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM
ADS

PRK KIMANIS | Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berjanji untuk membina sebuah pejabat daerah baru di Bongawan yang berada di kawasan Parlimen Kimanis.

"Kita akan luluskan penubuhan satu pejabat daerah di kawasan ini," katanya ketika sesi bertemu penduduk di Bongawan malam tadi.

"Saya janji di Kelabakan pada PRU lalu, kalau kita menang saya akan adakan satu pusat daerah kecil di Kelabakan. Sudah ada pun pusat daerah kecil di Kelabakan, bukan cakap bohong.

"Saya jarang berjanji. Tujuan saya bukan apa, kita nak serahkan usia kita, tenaga kita di negeri tercinta di Sabah," katanya sebelum mengakhiri ucapan.

Pemudah acara kemudian meminta orang ramai berdiri sebagai tanda penghargaan kepada Shafie kerana mengumumkan pejabat daerah berkenaan.

Pada Mei 2018, Adun Bongawan, Dr Daud Yusuf dilapor berkata usaha menaik taraf kawasan Bongawan, Kimanis dan Membakut sebagai sebuah daerah penuh, menjadi fokus utama wakil rakyat Warisan bagi memenuhi hasrat penduduk sejak sekian lama.

Katanya, perkara itu diumumkan sejak zaman BN namun belum berjaya direalisasikan.

Pada masa ini, penduduk di Bongawan mengambil masa perjalanan selama 40 minit untuk ke Pejabat Daerah Papar bagi urusan rasmi dan pentadbiran, termasuk memperbaharui lesen perniagaan, bayaran cukai pintu dan lain-lain.

Ini walaupun terdapat pejabat sub-daerah di Membakut yang hanya mengambil masa 20 minit perjalanan.

Ini kerana Bongawan terletak di daerah Papar manakala Membakut di bawah daerah Beaufort.

Seorang ahli perniagaan di Bongawan berkata penubuhan pejabat daerah di situ adalah penting bagi merangsang pembangunan di kawasan separa luar bandar itu.

"Dengan adanya pejabat daerah di sini, kita boleh mengharapkan pembinaan pejabat kerajaan yang lain, pejabat pos, bank dan bahkan hospital pada masa akan datang.

"Pada masa ini tidak ada bank di Bongawan," katanya.

Kerusi pilihan raya kecil Parlimen Kimanis akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan, Karim Bujang dan calon BN, Mohamad Alamin.

Hari pengundian ditetapkan pada 18 Jan.

Lihat Komen