malaysiakini logo
story-image
ADS

Hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mewujudkan kawasan khas merokok dibuat dengan mengambil kira tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata sebagai kerajaan KPKT perlu melihat kepentingan rakyat yang mempunyai keperluan rencam dan masing-masing perlu dilayan.

"Kita ada sektor (rakyat) yang jaga kesihatan, ada sektor yang nak merokok.

"Jadi kita harus menyantuni golongan ini (perokok), berikan mereka kemudahan tempat merokok," katanya kepada media selepas melawat Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia di Kampung Sireh, Kota Bharu, hari ini.

Zuraida berkata demikian sebagai mengulas bantahan lebih 50 NGO termasuk persatuan dianggotai pakar perubatan dan badan profesional yang menggesa KPKT menarik semula kebenaran pelaksanaan kawasan merokok yang dibuat kementerian itu, pada 7 Januari lalu. 

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar, yang terlibat bersama 50 NGO itu berkata, langkah KPKT jelas bertentangan dengan usaha Kementerian Kesihatan yang mewartakan tempat-tempat awam sebagai kawasan larangan merokok.

Menurut Zainal, langkah KPKT itu juga seolah-olah memberikan gambaran merokok adalah satu budaya dan boleh diterima masyarakat.

Terdahulu, Zuraida dilaporkan memberi kebenaran kepada pemilik restoran atau kedai makan, sama ada milik persendirian atau pihak berkuasa tempatan (PBT), menyediakan kawasan khas merokok di luar premis dengan jarak sekurang-kurangnya tiga meter dari meja makan terdekat.

Bagaimanapun kawasan khas merokok terbabit - yang disediakan tempat membuang puntung rokok itu - tidak boleh dijadikan ruang makan dan minum oleh perokok.

Sementara itu Zuraida berkata, apa yang jadi isu kepada KPKT adalah apabila golongan perokok membuang puntung rokok merata-rata.

"Apa yang menjadi isu kepada kita mereka merokok dan bersepah puntung-puntung rokok. Ia jadi tanggungjawab KPKT.

"Ini sebagai sokongan kepada polisi Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Reaksi saya kepada mereka (NGO), kita tak ambil kisah sangat. Kita sebagai kerajaan harus menjalankan tanggungjawab masing-masing," jelasnya.

Lihat Komen