malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hisham kecewa Muhyiddin 'ambil mudah' isu keselamatan
ADS

Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein, kesal dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin yang mendakwa pas sementara Sabah (PSS) tiada kaitan dengan isu keselamatan seperti pencerobohan di Lahad Datu beberapa tahun lalu.

Beliau yang juga bekas naib presiden Umno berkata, isu ancaman keselamatan di Sabah sukar untuk diramal, justeru tidak sepatutnya diambil mudah oleh kerajaan.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri, kalau dia katakan tak ada kaitan dengan isu keselamatan, saya kecewa, kerana saya juga merupakan mantan menteri dalam negeri.

"Dan kita tahu ancaman dan pergerakan keselamatan di Sabah ini, jangan kita ambil mudah.

"Kalau dia ambil mudah, bermakna dia tidak bertanggungjawab sebagai menteri dalam negeri," katanya ketika ditemui di Pasar Membakut, Kimanis pagi tadi.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan tindakan Hishammuddin mengaitkan PSS dengan ancaman keselamatan termasuk pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 sebagai tidak logik.

Katanya, pencerobohan oleh kumpulan bersenjata dari selatan Filipina - yang menggelarkan diri mereka sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu - menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu dengan isu PSS adalah dua hal yang berbeza.

Kelmarin ketika berkempen di Kimanis, Hishammuddin membangkitkan insiden pencerobohan Lahad Datu dalam menyuarakan bantahannya terhadap PSS.

Isu PSS menjadi polemik antara dua parti yang bertanding iaitu BN dan Warisan dalam PRK Kimanis.

PSS ialah dokumen baru yang dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada pendatang asing bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Muhyiddin mendakwa PSS adalah kesinambungan cadangan yang dicetuskan pada zaman kerajaaan BN sebelum ditambah baik serta dilaksanakan oleh PH.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Warisan agak terdesak dalam PRK Kimanis apabila mengaitkan BN dengan cadangan pelaksanaan PSS.

"Saya tengok mereka agak terdesak kalau projek-projek BN dulu yang mereka batalkan atau teruskan tak pernah dia bagi kredit pada kita, tetapi perkara yang dia sendiri laksanakan dan tak dapat diterima oleh orang ramai, kita (BN) dituduh," katanya.

Lihat Komen