malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid sangkal sekeras-kerasnya dakwaan PSS dicadangkan BN
Diterbitkan:  Jan 12, 2020 11:45 AM
Dikemaskini: 4:41 AM
ADS

PRK KIMANIS | Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan bahawa cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) dimulakan oleh kerajaan BN sebelum ini.

"Saya menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang menyatakan cadangan PSS sudah dimulakan oleh Kerajaan BN.

"Sewaktu saya menjadi pengerusi kepada Jawatankuasa Pelaksanaan RCI, tidak ada cadangan dari RCI dan jawatankuasa teknikal supaya PSS dilaksanakan.

“Tuduhan tersebut tidak benar. Saya mengetahui kerana saya jadi pengerusi yang dilantik oleh jemaah menteri bersama ketua menteri ketika itu," katanya dalam satu artikel bertajuk "secangkir kopi" hari ini.

PSS ialah dokumen baru Jabatan Imigresen yang dikeluarkan terhadap pendatang asing, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Ini susulan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing pada 6 Sept 2019 dan diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada hari yang sama.

PSS bagaimanapun telah dilaporkan secara salah sebagai cara untuk membolehkan pendatang asing mendapat kerakyatan di Sabah.

Ahli politik tempatan memainkan isu itu dengan mengaitkannya dengan Projek IC yang telah menimbulkan rasa marah rakyat Sabah, terutama masyarakat Kadazandusun Murut (KDM).


Baca: Apa itu PSS, kenapa ia penting untuk PRK Kimanis?


Semalam Muhyiddin mendakwa PSS adalah kesinambungan daripada Pas Residen Sementara Sabah (PRSS) yang dicadangkan kerajaan BN sebelum ini.

"Cadangan pas residen ini dibentang, dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa induk pada tahun 2015 sebelum kami (PH) jadi kerajaan iaitu pada 31 Jul (2015).

"Selaras pertukaran kerajaan, kita perhalusi untuk cadangan (Pas residen) dikaji secara mendalam ditambah penilaian dan dibentangkan dalam jawatankuasa induk 6 Sept 2019," katanya dalam satu program di Papar, semalam.


Baca: Shafie: Biar Muhyiddin buktikan cadangan PSS bermula zaman BN


Zahid berkata, jangan disebabkan kerajaan negeri berasa goyah dan tergugat dengan isu PSS, kerajaan terdahulu dipersalahkan.

Katanya, pelaksanaan PSS juga mendapat bantahan daripada parti pembangkang berasaskan Kadazandusun Murut di Sabah, seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Kerjasama Anak Negeri Sabah (Anak Negeri).

Dalam pada itu katanya, manifestasi penolakan terhadap PSS dapat dilihat apabila Pertubuhan Penambahbaikan Pendidikan Orang Awam Sabah (Pipa) dan Solidariti Rakyat Sabah (Sorak) akan mengadakan bantahan di bandar Membakut Khamis ini.

"Ini menunjukkan rakyat Sabah menolak pelaksanaan PSS. Kerajaan perlu mengkaji semula pelaksanaannya.

"Jangan kerana kepentingan politik, kepentingan rakyat Sabah diremehkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen