malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sekolah untuk anak tanpa kerakyatan bawa bekalan air buat penduduk kampung Sabah
ADS

Langkah sebuah sekolah untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah untuk memasang tangki air untuk sekolah itu turut berjaya memberi bekalan air kepada penduduk kampung di sekitarnya.

Dianggarkan kira-kira 15,175 penduduk di tiga kampung, di mana sekolah itu beroperasi, mendapat bekalan air daripada tangki-tangki yang dipasang mereka.

Sekolah Alternatif, yang digerakkan oleh sejumlah sukarewalan, beroperasi di Kampung Hidayat di Tawau, Kampung Air Hujung (Semporna) dan Teluk Layan (Kota Kinabalu).

Para sukarelawan pada mulanya memutuskan untuk memasang tangki air setelah mendapati sukar untuk memberikan bekalan air mencukupi kepada kanak-kanak di situ.

"Sekolah-sekolah ini dibina dalam komuniti. Maka kami memahami bahawa setiap komuniti ada cabaran tersendiri dan salah satunya ialah akses kepada sumber air bersih," kata pengurus program Wan Shakila Adiela Wan Azmi.

Tangki air berjaya dipasang di Sekolah Alternatif Semporna pada 7 Ogos 2019

 Tangki-tangki air dipasang dengan kos RM900 yang diperolehi daripada kutipan dana di Instagram pada Julai.

Pemasangan dibuat secara berperingkat dan siap sepenuhnya bulan lalu.

Menurut Wan Shakila, kampung-kampung di Semporna dan Tawau kurang bekalan air kerana paip utama tidak dihubungkan ke rumah mereka.

"Paip utama tidak bersambung ke sekolah kami jadi kami perlu sambungkan paip tambahan ke salurang jiran-jiran.

"Di Tawau, air hanya ada pada hari-hari tertentu. Jadi bila ada air, kita penuhkan tangki. Ada kala air kami datang dari hujan," katanya kepada Malaysiakini.

Pembinaan tangki air di Kampung Teluk Layan

 Bergantung kepada mata air

Di Teluk Layan, penduduk kampung bergantung kepada mata air yang jauh dari rumah mereka.

"Mereka juga basuh pakaian dan mandi di sana. Walaupun tidak terlalu jauh kerana masih terletak dalam kampung, tetapi mereka ada satu sumber air."

Sebelum tangki itu dipasang, penduduk akan pergi membawa baldi ke situ untuk mengambil air.

"Sukarelawan kami bina kawasan tadahan air. Kami sambungkan paip dari situ ke tangki. Jadi orang kampung kini ambil air di tangki itu," katanya.

 Wan Shakila berkata kerajaan sepatutnya mengambil langkah menyediakan bekalan air bersih secara tetap kepada penduduk di situ.

Bagaimanapun status rumah-rumah itu tidak jelas. Pada 2016, Utusan Borneo melaporkan kerajaan meruntukan 79 buah rumah di Teluk Layan, yang dibina tanpa permit di atas tanah milik negeri.

Katanya, keputusan kerajaan untuk tidak mengiktiraf kampung-kampung itu telah membawa kepada pengabaian terhadap penduduknya.

"Hal ini kembali kepada peranan kerajaan dan tanggungjawabnya untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat," katanya lagi.

Tangki Air dipasang di Sekolah Alternatif di Semporna

 Usaha mahasiswa

Sekolah Alternatif adalah program yang bermula hasil usaha bersama Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA) dan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah UMS untuk memberi pendidikan kepada kanak-kanak tanpa status kerakyatan.

Mereka menubuhkan Borneo Komrad, sebuah gerakan yang membawa isu pendidikan, pelestarian budaya dan hak asasi di Sabah.

 Pelajar UMS mula ke Teluk Layan untuk mengajar kanak-kanak di sana secara percuma sejak 2016, tetapi bangunan untuk Sekolah Alternatif hanya dibina pada 2019.

Sekolah Alternatif di Semporna pula bermula pada 2017 di sebuah rumah sewa di Kampung Air Hujung. Kebanyakan pelajar tinggal di Kampung Bangau-Bangau yang bersebelahan, Wan Syakila.

Bagi Tawau pula, sukarelawan memulakan Sekolah Alternatif pada 2019, menggunakan sebuah garaj. Ia kini beroperasi di beranda milik seorang penduduk yang menyokong usaha itu.

Susulan kejayaan mereka meraih dana untuk tangki air, Sekolah Alternatif - yang sepenuhnya beroperasi daripada sumbangan dana dan sukarelawan - berharap dapat meraih lebih dana untuk menyediakan kemudahan lain kepada kampung.

Mereka kini meraih dana untuk menambah baik sekolah di Tawau bagi menampung 50 pelajar.

Lihat Komen