malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BN manipulasi isu PSS, lebuhraya Pan Borneo - Naib presiden Warisan
ADS

PRK KIMANIS | Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Peter Anthony hari ini menempelak tindakan Barisan Nasional (BN) yang memanipulasikan pelbagai isu, termasuk Pas Sementara Sabah (PSS) dan projek Lebuhraya Pan Borneo, di sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, dengan fakta tidak berasas sehingga mengelirukan rakyat.

Sambil melahirkan rasa kesal dengan tindakan itu, beliau menegaskan langkah BN serta parti pembangkang lain dalam membangkitkan isu tersebut, semata-mata untuk kepentingan jangka pendek adalah perjuangan politik tidak matang.

Mengambil contoh Lebuhraya Pan Borneo, Peter berkata BN seolah-olah tidak mempunyai modal, dengan menyatakan projek pembinaan lebuh raya berkenaan terbengkalai, dan diberhentikan kerajaan negeri Sabah pimpinan Warisan.

“Mereka (BN) menyatakan kita (Warisan) memberhentikan pelaksanaan Pan Borneo. Itu tidak benar. Baru-baru ini, mungkin berlaku sedikit kelewatan apabila pelantikan baharu semua kontraktor dibuat. Ini disebabkan PDP (rakan penyampai projek) sebelum ini ditamatkan dan perlu pelantikan baharu,” katanya kepada Bernama, di Kimanis.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo masih rancak dijalankan, dan dakwaan BN kononnya projek tersebut diberhentikan adalah satu pembohongan.

Begitu juga dengan PSS, Peter berkata BN sengaja menjadikan isu tersebut sebagai usaha mempengaruhi minda rakyat, demi kelangsungan politik mereka sedangkan maklumat disampaikan tidak benar, sehingga menimbulkan persoalan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata PSS diperkenal bagi menggantikan Pas Residen yang disyor dan diluluskan Suruhanjaya Siasatan Diraja di bawah kerajaan terdahulu, dan langkah dilakukan Warisan itu pada masa ini adalah kesinambungan, daripada usaha tersebut.

“Selain itu, kerajaan negeri turut membuat penambahbaikan termasuk memastikan pemegang PSS tidak boleh memohon kewarganegaraan,” kata Peter yang juga Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia.

Dalam pada itu, beliau optimis masyarakat Kimanis khususnya dalam kalangan KDM memahami perkata itu dan sekali gus tidak akan mudah terpengaruh, dengan dakyah pembangkang berhubung pelaksanaan PSS.

Sementara itu, veteran politik Sabah Datuk Kadoh Agundong berkata PSS dilihat sebagai satu insiatif bagi memastikan dokumen migran tidak boleh dipalsukan, di samping antara pendekatan kerajaan untuk mengetahui keberadaan pendatang asing sekali gus menyelesaikan masalah tersebut.

“Bagaimanapun, pembangkang membatuapikan rakyat dengan mengatakan PSS sebagai kad pengenalan, sedangkan kerajaan negeri tiada hak berbuat demikian,” katanya yang kini ahli Warisan selepas mengumumkan menyertai parti itu pada Disember tahun lepas.

“Pembangkang hanya memperbodohkan rakyat,” kata Kadoh yang terkenal dengan julukan ‘giant killer’ kerana kejayaan besarnya menumbangkan Ketua Menteri Sabah keenam, Datuk Harris Salleh (sekarang Tan Sri) dalam satu pertandingan sengit pada pilihan raya 1985.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan dan hari pengundian awal pada 14 Jan.

- Bernama

 

Lihat Komen