malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO bantah KPKT benarkan ruang khas merokok
ADS

Lebih 50 NGO persatuan pakar perubatan dan badan profesional dalam suatu kenyataan bersama menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menarik semula kebenaran pelaksanaan kawasan merokok yang dibuat kementerian itu, pada 7 Januari lalu.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar yang terlibat bersama 50 NGO itu berkata, langkah KPKT jelas bertentangan dengan usaha Kementerian Kesihatan yang mewartakan tempat-tempat awam sebagai kawasan larangan merokok.

Menurut Zainal, langkah KPKT itu juga seolah-olah memberikan gambaran merokok adalah satu budaya dan boleh diterima masyarakat.

“Pihak kami tidak bersetuju dengan penyediaan kawasan merokok tersebut. Tambahan peruntukan sebanyak RM 1 juta akan diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

"Bila KPKT buat inisiatif yang mungkin betul bagi mereka, tapi bagi kami ia beri mesej yang berlainan yang bertentangan dengan mesej Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Oleh demikian kami menggesa pihak KPKT agar pelaksanaan kawasan merokok ditarik semula dan perbincangan teknikal antara KPKT dengan pertubuhan serta rakyat dibuat segera,” katanya dalam sidang media di pejabat Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.

Zainal berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin.

Zuraida sebelum ini dilaporkan memberi kebenaran kepada pemilik restoran atau kedai makan, sama ada milik persendirian atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menyediakan kawasan khas merokok di luar premis, pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter dari meja makan terdekat.

Bagaimanapun kawasan khas merokok terbabit, yang disediakan tempat membuang puntung rokok itu, tidak boleh dijadikan ruang makan dan minum oleh perokok.

Langkah tersebut kata Zuraida sebagai menyokong inisiatif KKM berhubung arahan larangan merokok di semua tempat makan awam sejak 1 Januari lalu.

Zuraida juga pada masa sama turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk digunakan bagi membina tempat merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Zainal berkata adalah tidak logik serta tidak munasabah untuk kerajaan membazirkan duit bagi usaha tersebut.

"Tak logik, tak munasabah, membazir duit rakyat kalau kita buat zon merokok. Di Malaysia ini semua kawasan merokok kecuali tempat tertentu. Ini tidak, terbalik, kita buat kawasan khas lagi di kawasan yang memang boleh merokok," katanya.

Kata Zainal, peruntukan RM1 juta yang disediakan KPKT juga seharusnya digunakan untuk mengubati perokok atau penyakit berkaitan merokok daripada membina tempat merokok yang hanya memuaskan 20 peratus populasi perokok.

Beliau juga berkata, tinjauan yang dilakukan Public Health Malaysia di laman Facebook mereka pada 8 Januari lalu juga menunjukkan 93 peratus daripada 12,000 pengguna media sosial menolak langkah KPKT dalam menyediakan kawasan khas merokok di premis restoran.

Katanya, di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, KKM mewartakan hanya sebanyak 23 tempat sebagai kawasan larangan merokok.

"Perokok dilarang merokok pada tempat tersebut dan mereka boleh merokok di kawasan yang tidak diwartakan yang sangat luas di seluruh negara," katanya.

Dr Zainal berkata, pihaknya menyokong usaha mewujudkan zon membuang puntung rokok, namun bukan tempat untuk merokok.

"Kita rasakan dengan adanya inisiatif ini menggalakkan perokok merokok dan anggap ia sebagai budaya, yang mana kita tahu amalan merokok mengakibatkan kesan negatif kepada ekonomi, persekitaran.

"Aneh apabila agensi kerajaan adakan tempat bertentangan dengan kehendak rakyat, kita rasa patut diperbetulkan," katanya.

Tindakan KPKT itu kata Zainal turut dibantah 56 gabungan badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO).

Lindungi kanak-kanak dari asap rokok

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Shaani Abdullah pada sidang media sama berkata sejak tahun 1993 larangan merokok telah dikuatkuasakan di semua restoran berhawa dingin bagi menyediakan tempat awam bebas asap rokok.

“Ia bagi melindungi semua dari bahaya asap rokok, yang mana 20,000 kematian direkodkan setiap tahun di Malaysia. 

"Selain menggalakkan perokok kurang merokok, seterusnya berhenti merokok serta melindungi kanak-kanak dan bayi terbiasa serta terpengaruh dengan tabiat merokok,” katanya.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin pula menyeru semua pihak bersatu dalam melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada asap rokok.

“Kita semua kena sama-sama bersatu tidak kira siapa dalam Malaysia untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada terdedah dari asap rokok dan daripada mereka jadi perokok.

“Jadi kalau KPKT membuat tempat-tempat merokok, kanak-kanak, remaja akan melihat contoh yang tidak baik terhadap orang dewasa,” katanya.

Mengulas lanjut, langkah membendung budaya merokok itu perlu bagi mengelakkan kanak-kanak dan remaja merasakan yang merokok itu baik.

“Apa yang sebenarnya kita nak tunjukkan kepada generasi muda kita?

“Tidak mengapa, mereka akan rasa merokok okay, tapi sebenarnya tidak boleh.

“Kita mesti beritahu mereka bahawa merokok tidak diterima sama sekali sebab kita sedang ke arah bebas perokok 2045 di mana kurang lima peratus populasi Malaysia sepatutnya adalah perokok, maknanya kanak-kanak yang lahir pada 2009 tidak boleh merokok langsung bila besar.

“Tapi sekarang apa yang kita cuba tunjukkan?" Soalnya dengan nada kesal.

Timbalan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Shaari Ahmad Junid yang turut hadir sidang media hari ini berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung langkah KPKT itu pada 18 Januari ini sekiranya kementerian itu tidak memberikan apa-apa penjelasan.

Lihat Komen