malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kaunter bergerak SPR bantu pengundi buat semakan awal
ADS

PRK KIMANIS | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka kaunter bergerak pendaftaran pemilih untuk membantu pengundi di kawasan Parlimen Kimanis membuat semakan awal sebelum hari mengundi, 18 Jan ini.

Pengarah SPR Sabah, Rohiman Rahia berkata kaunter bergerak itu adalah antara inisiatif penambahbaikan dilakukan suruhanjaya berkenaan supaya pengundi mengetahui saluran dan tempat pusat mengundi bagi melancarkan proses pengundian pada hari itu.

"Kaunter bergerak ini sudah dimulakan sejak 6 Jan lepas dan berakhir pada 12 Jan ini. Pejabat SPR Sabah telah menubuhkan tiga pasukan untuk bergerak ke 59 lokasi yang ditetapkan.

"Setiap pasukan terdiri daripada dua pegawai SPR, mereka akan berada di lokasi itu selama dua jam mengikut jadual dan lokasi disediakan, namun masa itu mungkin berubah sekiranya kawasan itu mempunyai jumlah pengundi yang ramai," katanya ketika dihubungi Bernama di Kimanis, hari ini.

Rohiman berkata, operasi kaunter bergerak itu bermula 9.00 pagi dan berakhir 5.00 petang, dan akan bergerak ke setiap lokasi bagi memudah dan menjimatkan masa pengundi untuk melakukan semakan.

Beliau berkata, SPR menggalakkan pengundi khususnya yang belum mengetahui saluran dan pusat mengundi untuk hadir ke lokasi kaunter bergerak berdekatan dengan kawasan mereka.

Pada 10 Jan, kaunter bergerak akan berada di Kampung Pekan Kimanis, Kampung Brunei Kimanis, Kampung Kimanis, Kampung Baru Kimanis, Kampung Limadang, Kampung Takapan, Kampung Lampijas, Kampung Sungai Damit, Kampung Kimanis Estate, Kampung Lanas, Kampung Ulu Bongawan dan Kampung Mandahan.

Sementara pada 11 Jan di Kampung Dainggin, Kampung Mandugi, Kampung Ulu Kimanis, Kampung Sumbiling, Kampung Talantang, Kampung Tibabar, Kampung Hulu, Kampung Lumagar, Kampung Binsulok, Kampung Pimping dan Kampung Brunei.

Pada hari terakhir (12 Jan), lokasinya di Kampung Lumantak, Kampung Papas, Kampung Lumat, Kampung Mawao, Kampung Piasau, Kampung Tahak, Kampung Jambatan Baru, Kampung Paung, Kampung Maranggang, Kampung Sinuka, Kampung Laut Membakut dan Kampung Poiring.

PRK Parlimen Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Parti Warisan Kimanis, Karim Bujang, 67, manakala BN meletakkan Ketua Bahagian Umno Kimanis, Mohamad Alamin, 48, sebagai calon.

- Bernama

 

Lihat Komen