malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saya tidak tahu, keputusan dibuat AG, kata IGP
Diterbitkan:  Jan 9, 2020 5:09 PM
Dikemaskini: 9:47 AM
ADS

Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador menjelaskan bahawa beliau tidak tahu berkenaan keputusan peguam negara untuk tidak mengenakan sebarang pertuduhan atas alasan pakar forensik Amerika Syarikat "gagal" mengenal pasti individu dalam video berkenaan.

Malah, kata Abdul Hamid, polis sedang menunggu perkembangan terkini daripada pejabat peguam negara berhubung keputusan itu.

"Saya tidak tahu, keputusan muktamad dibuat oleh pihak peguam negara, bila sudah rasmi saya akan umumkan," katanya seperti dipetik portal Astro Awani hari ini.

Peguam Negara Tommy Thomas, hari ini mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dibuat susulan video intim kontroversi yang didakwa melibatkan seorang menteri kabinet dan ahli politik.


Tiada pertuduhan, forensik gagal kenal pasti suspek, kata AG



Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada klip video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Thomas juga berkata, akibat resolusi yang rendah, pakar forensik "gagal" mengenal pasti individu dalam video berkenaan.

Pada 20 November tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata identiti lelaki yang dirakam itu bakal diketahui sebelum hujung tahun.

Katanya, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara kira-kira tujuh dan lapan kali dan pihak terbabit sudahpun diberi arahan untuk dilaksanakan.

Untuk rekod, klip video intim itu mula tersebar pada 11 Jun 2019 menerusi beberapa kumpulan Whatsapp yang membabitkan petugas media.

Ia didakwa dirakam di Hotel Four Point, Sandakan pada 11 Mei tahun lalu, iaitu ketika berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Pada hari berikutnya, dalam satu siaran video, Haziq mengaku terlibat dalam rakaman video itu, dan mendakwa Azmin adalah individu yang bersamanya dalam klip video tersebut.

Bagaimanapun Azmin konsisten menafikan terlibat dalam rakaman dan aktiviti seks dalam video tersebut. Beliau mendakwa video berkenaan sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Lihat Komen