malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ugut saksi kes 1MDB: Mahkamah tetapkan 14 Jan selesai isu permohonan komital
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 14 Jan buat keputusan permohonan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam bagi mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara (AG) Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.

Ini susulan isu Lokman didakwa mengugut seorang saksi dalam kes bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dana 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah dari kedua belah pihak peguam dan timbalan pendakwa raya.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah, pada awal hujahan lisan menjelaskan bahawa pihak AG gagal menunjukkan alasan khusus penghinaan mahkamah yang dilakukan responden dalam surat tunjuk sebab bagi membenarkan prosiding komital dijalankan.

“Jika terdapat kenyataan dibuat responden (yang menghina mahkamah) perlu ditunjukkan,” katanya.

Untuk rekod, pada 22 Okt tahun lepas, hakim Sequerah memberi kebenaran kepada peguam negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 Sept tahun lalu.

Dalam permohonan itu, peguam negara memohon perintah supaya Lokman selaku responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Peguam negara berkata pada tarikh itu (25 Sept 2019) responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Amhari Efendi yang merupakan bekas pegawai khas Najib, kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di mahkamah tinggi.

Peguam negara berkata beliau juga akan memainkan rakaman video berhubung temu bual itu pada pendengaran prosiding komital jika mahkamah memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding berkenaan.

Beliau menambah pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram dalam hujahnya pula menjelaskan objektif atau tujuan tindakan responden -Lokman- adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi.

Katanya lagi, tindakan responden juga berpotensi untuk mengugut, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh pada perbicaraan.

Lihat Komen