malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
JK Disiplin PKR sedang siasat Zuraida, kata Saifuddin
Diterbitkan:  Jan 9, 2020 2:04 PM
Dikemaskini: 6:04 AM
ADS

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin, kini dalam siasatan jawatankuasa disiplin parti.

Saifuddin berkata, aduan membabitkan Zuraida diterima sejurus selepas Kongres PKR yang diadakan di Melaka berakhir pada bulan lalu.

“Saya boleh sahkan ada aduan terhadap beliau (Zuraida) dan saya boleh sahkan aduan itu sekarang berada di tangan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (PKR), Datuk Ahmad Kassim,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online hari ini.

Bagaimanapun, Saifuddin mendakwa tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung perkembangan siasatan kes itu.

Ditanya bila keputusan berhubung kedudukan Zuraida dalam parti akan diketahui, Saifuddin berkata ia bergantung kepada siasatan.

“Sesuatu tindakan disiplin itu akan membawa kepada keputusan akhir, sama ada amaran, gantung atau pecat,” katanya lagi.

Semalam, portal FMT melaporkan, ada tekanan dalam PKR untuk memecat Zuraida atas dakwaan menghina ahli parti dan mendedahkan isi perbualannya dengan presiden parti, Anwar Ibrahim secara terbuka.

Rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti terhadap menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu semakin memuncak selepas beliau dikatakan menyerang ahli lain dalam ucapannya pada majlis makan malam ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ pada 8 Disember lalu.

Majlis makan malam itu dianjurkan Mohamed Azmin Ali sejurus selepas mereka yang bersekutu dengan puak timbalan presiden PKR itu memboikot hari terakhir kongres national PKR i Melaka.

Zuraida juga mendakwa penilaian Anwar dilihat terjejas oleh pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti itu yang jelas merujuk kepada Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador.

Lihat Komen