malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dasar dadah negara perlu dikaji semula - Yayasan cegah jenayah
ADS

Dasar Dadah Negara (DDN) perlu dikaji semula supaya usaha memerangi gejala penagihan dan penyalahgunaan bahan terlarang itu dapat dilakukan secara bersepadu, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Lee Lam Thye.

Beliau berkata cabaran masa kini dalam memerangi musuh nombor satu negara itu adalah lebih rumit berbanding pada era tahun 1970-an dan 1980-an berikutan pengedar dadah kini agresif mempengaruhi generasi muda dengan mengunakan media sosial dan dadah sintetik sebagai tarikan.

“Perlu segera kaji semula dan perbaiki kelemahan yang terdapat dalam DDN bagi merumuskan pendekatan yang lebih bersepadu.

“Masyarakat khususnya ibu bapa perlu sama-sama terlibat dalam memastikan gejala ini dapat dikurangkan kerana penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja sehari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di Kangar, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Perlis Surina Saad (gambar, bawah).

Untuk rekod, DDN diperkenalkan pada tahun 1996 dan diperkemaskan semula pada tahun 2004. DDN merupakan kerangka kerja yang komprehensif dalam usaha mencegah, merawat, memulih, menguatkuasakan undang-undang dan mengurangkan kemudaratan masalah penagihan dadah.

Lee berkata Malaysia antara negara di dunia yang mempunyai undang-undang ketat menjatuhkan hukuman mati mandatori terhadap pengedar dadah, namun masih terdapat mereka yang terus melakukan jenayah itu.

Beliau berkata usaha pencegahan dan kesedaran perlu bermula di rumah kerana kebanyakan daripada penagih dadah remaja datang daripada keluarga yang bermasalah.

“Bermula daripada belajar menghisap rokok, lama-lama mereka berjinak dengan penyalahgunaan dadah apabila terpengaruh dengan rakan-rakan yang menjadi tempat untuk mereka meluahkan masalah,” katanya.

Beliau berkata lebih menyedihkan lagi terdapat segelintir ibu bapa yang tidak melaporkan kepada pihak berkuasa walaupun tahu anak mereka terlibat dengan dadah kerana ingin menjaga nama baik keluarga.

Lee berkata MCPF menyokong penuh usaha PDRM melaksanakan operasi khas dikenali ‘Operasi Libero Purus’ bagi mengesan penjawat awam yang terlibat dengan dadah.

“Kami mempunyai kepakaran dalam bidang ini dan sedia untuk memberi kerjasama bagi mendidik masyarakat khususnya penjawat awam dalam mencapai sasaran sifar dadah,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen