malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam Najib pertimbang ambil tindakan hina mahkamah terhadap SPRM, Latheefa
ADS

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berpandangan pendedahan sembilan rakaman audio daripada perbualan telefon Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, sebagai sub judice dan menghina mahkamah.

Peguam bekas perdana menteri dalam perbicaraan berkaitan 1MDB itu berkata, mereka sedang menimbang untuk memulakan tindakan penghinaan mahkamah terhadap SPRM dan ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya.

"Anda dapat lihat rakaman itu seperti berkenaan dua atau tiga kes. Jelas SRC terlibat, 1MDB terlibat. Satu kes lagi ialah berkenaan Riza Aziz yang juga dalam (proses) mahkamah.

"Mendedahkan rakaman itu sekarang dan membincangkannya di media hakikatnya adlaah sub judice dan penghinaan. Kami menimbang secara serius untuk tindakan menghina (mahkamah) terhadap SPRM, terutamanya Latheefa Koya," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Shafee berkata lagi, apa yang didedahkan Latheefa dalam sidang media hari ini boleh mempengaruhi perbicaraan terhadap Najib.

"Kerana ini perkara yang membuatkan Datuk Seri Najib kurang wibawa (less credible), atau mahkamah dan orang awam malah menganggapnya bersalah, (berfikir) mengapa dia bercakap seperti itu dengan ketua negara, isterinya, dan Tan Sri Dzul (bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad).

"Jadi ini ialah perkara yang boleh mempengaruhi, ini yang dikatakan sub judice. Dan ia menghina," katanya lagi.

Antara rakaman perbualan yang didedahkan termasuk antara Najib dan Dzulkifli, yang ketika itu pegawai di Pejabat Peguam Negara, berkenaan siasatan SPRM terhadap 1MDB.

Beberapa bulan selepas perbualan itu, Dzulkifli dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Abu Kassim Mohamed.

Shafee turut menuduh Latheefa sebagai melanggar undang-undang berkaitan rahsia rasmi dengan pendedahan itu.

Katanya lagi, agak janggal untuk SPRM mendedahkan apa yang dikatakan sebagai bukti kepada orang awam sebelum siasatan rasmi dibuat.

"Biasanya mereka akan lapor kepada polis atau SPRM dan membuat siasatan secara sulit. Mereka tidak akan dedahkan kepada awam. Kerana siasatan sulit.

"Malah Latheefa berkata apa yang dibincangkan Dzul ialah rahsia rasmi. Perkara ini masih perlu disiasat.

"Dan perkara terburuk ialah, dia mendedahkan semua maklumat ini dengan memainkan (rakaman) kepada awam, apabila dia tahu agensinya tidak menyiasat, dia berikannya kepada polis.

"Polis kini akan menyiasat perkara yang sudah berada di ruang awam. Saya rasa itu sendiri satu pelanggaran," katanya.

Ditanya sama ada rakaman yang diperolehi SPRM itu berguna kepada pihak pendakwaan di mahkamah, Shafee menjawab tidak.

Katanya, rakaman yang diperolehi daripada sumber tidak dikenali tidak akan diterima di mahkamah, seperti dalam beberapa kes sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen