malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas timb pengarah kanan DBKL didakwa terima rasuah lebih RM1j
ADS

Bekas timbalan pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,080,000 pada 2018 dan 2019.

Sabudin Mohd Salleh, 58, yang merupakan bekas timbalan pengarah kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Sabudin didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai RM700,000 daripada Ang Huck Koon melalui pihak ketiga B Chandrasegar sebagai dorongan untuknya memperakukan tuntutan pembayaran kepada Syarikat Juara Cahaya Sdn Bhd bagi cadangan menggantikan jambatan konkrit sedia ada kepada jambatan konkrit baharu merentangi Sungai Kelang di Jalan Jelatek, di Kuala Lumpur.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bangsar Shopping Centre, di Kuala Lumpur antara 4 April hingga 8 Mei tahun lepas mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa telah secara rasuah menerima wang tunai RM20,000 bagi dirinya daripada Lim Hong Jun iaitu Pengarah Syarikat Haneka Sdn Bhd sebagai dorongan bagi dirinya setelah mengesyorkan bagi pelantikan syarikat BY Five HDD Sdn Bhd, Sutera Unik Sdn Bhd dan Uyin Enterprise untuk cadangan kerja-kerja penyelenggaraan Infrastruktur awam sistem jalan raya dan perparitan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2017 hingga 2019.

Mengikut pertuduhan ketiga, dia dituduh secara rasuah menerima wang tunai RM10,000 bagi dirinya daripada Lim sebagai balasan bagi dirinya setelah memperakui sijil tuntutan pembayaran tiga syarikat itu untuk cadangan kerja-kerja penyelenggaraan yang sama.

Tertuduh juga didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya wang tunai RM150,000 daripada Chia Chee Seng yang merupakan Pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd yang tertuduh ketahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, di Kuala Lumpur, antara 13 hingga 19 Ogos 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kelima dan keenam, tertuduh didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM100,000 daripada Wong May Kuan iaitu subkontraktor Dusari Niaga sebagai upah memberikan tiga permit kerja dan kerja-kerja pembaikan serta menaik taraf bebendul serta siar kaki di Lorong Ceylon dan sekitarnya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di sebuah stesen minyak serta di kediamannya di Ukay Perdana, di Kuala Lumpur, pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari tahun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga, kelima dan keenam, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM150,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Hamidi Mohd Noh memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik dengan SPRM dan dia penanggung utama keluarga.

“Tertuduh menanggung isteri serta tiga anak, tertuduh juga menghidap penyakit darah tinggi, kolesterol tinggi dan gout.

“Tertuduh adalah penjawat awam, jelas menunjukkan tertuduh bukan orang yang berkemampuan dan mempunyai sumber pendapatan yang tinggi,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 17 Feb dan menetapkan 27 hingga 30 Julai, 3 hingga 6 Ogos dan 17 hingga 19 Ogos ini untuk perbicaraan.

Tertuduh membayar jaminan.

- Bernama

Lihat Komen