malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Loke tak puas hati 3 dari 4 mesin tiket KTM tak berfungsi
ADS

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook tidak berpuas hati dengan pemeriksaannya terhadap mesin tiket stesen KTM Kuala Lumpur kerana mendapati hanya satu daripada empat mesin itu yang boleh berfungsi.

Sejak November tahun lalu, stesen KTM itu telah diintegrasikan dengan stesen LRT dan MRT Pasar Seni melalui laluan sepanjang 102 meter.

"Daripada empat mesin hanya satu saja yang berfungsi. Dua dalam ujian, manakala satu lagi tak bergungsi," katanya sambil menunjukkan ke arah mesin itu.

Menurut Loke hal "ini bukan saja menyusahkan rakyat" tetapi boleh menjejaskan imej negara, khususnya dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Saya nak rumuskan saya tak puas hati dengan apa yang saya lihat hari ini dan ini sesuatu yang tidak menunjukkan imej yang baik, malah memalukan negara," katanya kepada pemberita hari ini.

Loke yang juga MP Seremban turut meluahkan rasa tidak gembira apabila dua laluan gerak automatik (walkalator) tidak berfungsi.

"Walkalator ini masih baru dibuka dua bulan dahulu tetapi daripada dua walkalotor satu tidak berfungsi. Tak tahu kenapa tak berfungsi," jelasnya.

Laluan gerak sepanjang 50 meter iti menghubungkan stesen KTM ke stesen LRT dan MRT Pasar Seni.

Bagaimanapun, selepas bercakap kepada media, laluan gerak itu mula berfungsi.

"Sekarang sudah jalan balik. Hahaha," katanya tertawa.

Lawatan ke stesen KTM itu merupakan pemeriksaan mengejut kedua yang dilakukan menteri pengangkutan hari ini.

Terdahulu hari ini, Loke membuat pemeriksaan mengejut dengan memesan khidmat perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi bike–hailing yang juga dikenali teksi motosikal itu.

Loke yang membuat pesanan itu secara peribadi memulakan perjalanannya daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke stesen LRT Pasar Seni, sebaik sahaja selesai sarapan pagi di sekitar kawasan terbabit.

Dengan jarak dua kilometer itu, Loke mengambil masa selama selama 10 minit untuk sampai ke stesen LRT Pasar Seni, selepas 15 minit membuat tempahan menerusi aplikasi atas talian itu.

Mengulas lanjut Loke berkata beliau berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat Dego Ride setakat ini.

"Dalam perkhidmatan masa kurang 10 minit sampai ke sini saya lihat mereka memang bersedia memberikan helmet kepada penumpang, kelajuan sederhana dalam keadaan kesesakan lalu lintas tadi.

"Penunggang juga mematuhi lampu isyarat, tidak memecut.

"Itu petanda baik dan kita harap mesti diteruskan pesanan saya mesti mematuhi semua unsur keselamatan. Kita akan memantau dari semasa ke semasa," katanya.

Lihat Komen