malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penganjur nafi majlis sambutan Krismas ada kaitan dengan Warisan
Diterbitkan:  Jan 5, 2020 4:21 PM
Dikemaskini: 8:23 AM
ADS

Seorang pemimpin Kadazan Dusun Murut (KDM) menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang mengaitkan majlis sambutan Krismas dan Tahun Baru 2020 di Membakut dengan kempen pilihan raya kecil (PRK) Kimanis yang sedang berlangsung.

Pengerusi jawatankuasa penganjur program itu, Peter Chang, mewakili Gereja Membakut berkata program itu, yang antara lain menawarkan hadiah cabutan bertuah, tidak mempunyai kaitan dengan Warisan.

Jelas belia, Presiden Warisan Shafie Apdal hadir sebagai tetamu kehormat sebagai penghargaan kepadanya atas kapasiti Ketua Menteri Sabah yang memberikan cuti dua hari di negeri itu.

"Majlis Krismas dan sambutan tahun baru yang dianjurkan di Membakut semalam bukanlah anjuran Warisan atau pun KDM Malaysia, ia adalah anjuran masyarakat Membakut yang beragama Kristian .

"Kesemua perbelanjaan dan pengurusan dalam majlis tersebut juga ditanggung oleh orang kampung yang bergotong-royong termasuk kerjasama tabung bersama (patak-patak), ketua menteri dijemput atas kapasiti beliau sebagai Ketua Menteri.

“Dalam keramaian ini sesiapa juga dijemput secara terbuka termasuk parti pembangkang, dalam majlis itu ada juga ahli UMNO dan BN yang hadir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Mohamad berkata beliau akan meminta bilik gerakan BN untuk membuat laporan berhubung apa yang didakwa sebagai pelanggaran Akta Pilihan Raya oleh parti kerajaan ketika kempen PRK.

Katanya, ia berkaitan dengan cabutan bertuah berupa sebuah motosikal dan barangan lain pada sambutan Krismas yang diadakan di Pekan Membakut ketika kempen PRK Kimanis bermula.

Sementara itu, Chang mengingatkan pemimpin Umno dan BN agar jangan sesekali "menghina" rakyat Sabah yang telah lama hidup bersatu padu dan bersama-sama meraikan hari keramaian pelbagai kaum yang ada di negeri berkenaan.

Tegasnya, orang Sabah sentiasa bersama dalam meraikan sesuatu majlis keramaian tanpa ada batasan politik.

“Keramaian ini sudah menjadi kebiasaan di negeri Sabah tanpa memihak pada mana-mana ahli politik, maka kami warga Membakut yang menganjurkan majlis ini ingin memaklumkan kepada Umno dan BN jangan sesekali menghina kami.

“Kami orang Sabah dan kami tahu apa kami mahu, adalah lebih baik Umno dan BN fokus di Kuala Lumpur daripada menuduh kami membabi buta,” tegas beliau.

Membakut adalah salah satu daripada dua kerusi dewan undangn negeri dalam parlimen Kimanis. DUN berkenaan dilihat akan menjadi sasaran untuk meraih sokongan pada PRK Kimanis.

Kadazandusun mewakili 28 peratus daripada 29,664 pengundi berdaftar di Kimanis.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Anifah Aman pada pilihan raya umum lalu.

Lihat Komen