malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
UniMAP: Kontroversi soalan peperiksaan timbul kerana ditafsir luar konteks
Diterbitkan:  Jan 4, 2020 8:53 PM
Dikemaskini: 1:06 PM
ADS

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata kontroversi berhubung soalan peperiksaan Kursus Hubungan Etnik (UUW 235), termasuk satu soalan melibatkan pendakwah Zakir Naik timbul kerana ia "ditafsir di luar konteks".

Naib Canselor UniMAP R Badlishah Ahmad berkata soalan peperiksaan itu dibuat mengikut prosedur akademik dan kesemua panel penilai soalan terdiri daripada pelbagai bidang akademik dan kaum.

"Dengan berlandaskan prinsip kebebasan akademik di universiti serta menguji tahap kematangan pelajar, kesemua isu-isu semasa dan terkini telah dikupas dan dinilai berpandukan kepada disiplin akademik sama ada semasa sesi pembelajaran dan pengajaran serta diuji dalam penilaian kerja kursus dan peperiksaan akhir.

"Justeru, penularan soalan yang dianggap menyentuh sensitiviti kaum baru-baru ini adalah kerana telah ditafsir di luar konteks objektif pengajaran dan pembelajaran bagi kursus ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, dalam kenyataan sama, Badlishah mengakui terdapat kesilapan penterjemahan.

"Pun begitu, hasil siasatan mendapati terdapat kekhilafan dalam menterjemah perkataan 'ignorant' kepada 'bodoh' bagi pilihan jawapan ke-IV soalan 60," katanya.

Soalan 60 berbunyi: "Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Beliau mampu berhujah dan manjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?"

Sementara pilihan jawapan yang disediakan ialah 1)Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu, 2)Rakyat Malaysia yang mudah terancam tanpa usul periksa, 3)Rakyat yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa, 4)Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Sementara itu, Badlishah berkata UniMAP akan memperkemaskan penapisan dan penilaian soalan agar tidak menyentuh isu-isu secara spesifik sebaliknya lebih bersifat umum.

"Pada masa sama, sekiranya ada soalan berbentuk pendapat, ia tidak akan dimasukkan dalam soalan berbentuk Multiple Choice Question (MCQ) sebaliknya soalan MCQ hanya akan menjurus kepada soalan fakta dan teori sahaja.

"Adalah ditegaskan, pihak universiti sentiasa berusaha untuk tidak terlibat sama sekali dengan segala isu bersifat kontroversi.

"Pun begitu, pihak universiti sentiasa terbuka untuk menerima segala pandangan dan penambahbaikan daripada semua pihak," katanya.

Lihat Komen