malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Shafie halang ketegangan antara penyokong Warisan dan BN
ADS

PRK KIMANIS | Ketegangan hampir tercetus antara penyokong Warisan dan BN ketika penamaan calon PRK Kimanis hari ini, sebelum diredakan oleh Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.

Pertelingkahan bermula apabila sejumlah penyokong Warisan bergerak melepasi garisan yang dibuat polis bagi memisahkan tempat berkumpul penyokong kedua-dua pihak.

Melihat kemaraan keadaan itu, penyokong BN juga turut mara kehadapan.

Shafie yang juga presiden Warisan kemudian bertindak menyekat kemaraan penyokong partinya dengan meminta mereka berundur ke belakang garisan polis.

"Jangan malukan kita...Undur ke belakang," katanya sambil menarik garisan polis yang diputuskan oleh penyokong parti itu.

 

Kedua-dua pihak kemudian saling membalas provokasi. Penyokong Warisan melaungkan "BN perosak negara" dan "BN korupsi", dan dibalas penyokong BN yang berkata "lawan tetap lawan" dan "PSS (Pas Sementara Sabah) pengkhianat negara".

Polis kemudian bertindak menghalang pertelingkahan tersebut daripada terus berlanjutan.

PRK Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Karim Bujang dan calon BN Mohamad Alamin.

 Ini selepas tiada calon bebas hadir di pusat penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort apabila proses penyerahan borang pencalonan ditutup pada jam 10 pagi.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Lihat Komen