malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Yang Berhormat Dr Maszlee Malik telah mengumumkan keputusan untuk meletak jawatan sebagai menteri pendidikan, berkuat kuasa pada 3 Januari 2020.

Berasal dari latar belakang akademik, juga sebagai tokoh gerakan Islam tanah air yang berpengaruh, Dr Maszlee Malik berkecimpung dalam politik sebelum PRU14.

Beliau terpilih sebagai wakil rakyat Simpang Renggam, dan dilantik untuk menyandang jawatan menteri pendidikan Malaysia, antara portfolio yang terpenting dalam kabinet kerajaan.

Ramai yang teruja, malah menaruh harapan tinggi terhadap Dr Maszlee Malik, setelah mendengar perkongsian idealisme beliau dalam bidang intelektual, agama Islam, pendidikan khas dan sebagainya.

Untuk berlaku adil kepada Dr Maszlee Malik, beliau menterjemahkan idealismenya kepada dasar-dasar bawah kementeriannya, disusuli dengan pelaksanaan.

Kesungguhan Dr Maszlee Malik untuk mengangkat martabat golongan minoriti dan terpinggir dapat dirasai, apabila kementeriannya memberi tumpuan dalam isu pendidikan untuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, pendidikan khas untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sebagainya.

Pada masa yang sama, Dr Maszlee Malik menggalas misi yang cukup berat untuk mengimbangi keperluan dan tuntutan yang berbeza, malah seringkali bertentangan antara satu sama lain dari masyarakat yang berbilang kaum, agama dan bahasa ini.

Bukan sahaja perbezaan dari segi etnik, malah perbezaan kelas sosial ekonomi juga menyaksikan bagaimana masyarakat ini berbeza pandangan dalam isu sama ada peruntukan harus diutamakan untuk Program Sarapan Percuma.

Keadaan semakin rumit dalam situasi media dan sosial media yang sedia ada. Dr Maszlee Malik dibelenggu dengan masalah komunikasi sepanjang 20 bulan lalu.

Bukan sahaja dasar yang bakal dilaksanakan gagal diolah dan dijelaskan dengan baik, malah ada kalanya kenyataan beliau dipetik sebahagiannya untuk diperbesarkan, sehingga menimbulkan salah faham yang mengeruhkan lagi keadaan.

Dong Zong tidak menafikan bahawa pihak kami berbeza pandangan dengan Dr Maszlee Malik dalam beberapa isu pendidikan, sama ada dari segi pendirian mahupun pendekatan.

Namun demikian, kami ingin menegaskan, apa pun perbezaan di antara pihak kami dengan Kementerian Pendidikan Malaysia yang dikemudi Dr Maszlee Malik – kesemuanya bertitik tolak dari matlamat agar Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik.

Tiada rasa dengki mahupun dendam peribadi antara pihak kami dengan Dr Maszlee Malik.

Pihak Dong Zong tetap menghormati dan menghargai Dr Maszlee Malik sebagai pemimpin yang ikhlas sepanjang perkhidmatan beliau sebagai menteri pendidikan.

Kami percaya, beliau telah cuba sedaya upaya untuk melakukan segala yang terbaik untuk bangsa dan negara.

Kami ingin merakamkan penghargaan ke atas segala jasa dan kebaikan yang dilakukan Dr Maszlee Malik sepanjang 20 bulan yang lalu, sepanjang perkhidmatan beliau di Kementerian Pendidikan Malaysia. Dr Maszlee, selamat maju jaya di masa depan.

Moga-moga, pencapaian Dr Maszlee Malik yang sedia ada dijadikan asas oleh penggantinya untuk meneruskan agenda reformasi pendidikan. Pihak Dong Zong bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan negara dan masa depan Malaysia.

Sekian terima kasih.


NG CHAI HENG ialah setiausaha kehormat Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Tulisan ini dimuatkan kali pertama di Facebook penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen