malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Menemui YB yang berkenaan dan tidak bernama, semoga berada dalam kesejahteraan dan kegembiraan berpanjangan.

Pada hari ini, kosonglah sudah kerusi menteri di Kementerian Pendidikan hanya selepas kira-kira 20 bulan ia terisi. Sepanjang tempoh berkenaan pelbagai ragam, warna dan gaya dapat disaksikan oleh sekelian alam berkenaan orang di kementerian berkenaan.

Bermula dengan harapan yang menggunung tinggi, bekas ahli akademik yang terjun ke lembah politik bernama Maszlee Malik itu mencorakkan bidang yang amat penting untuk meneruskan kelangsungan bangsa dan negara ini.

Bermacam kerenah dapat dilihat daripada menteri, pegawai-pegawai menteri dan orang kementerian sepanjang tempoh itu. Ada yang pahit tetapi banyak juga yang memberikan harapan. Namun 'kejayaan' dan 'kehebatan' mereka menguruskan gagasan dan dasar itulah kemudiannya membawa kepada peluang untuk YB bergelar menteri tidak lama lagi.

Wahai YB yang dihormati,

Jawatan menteri ini - mengikut adatnya - sangatlah menjanjikan. Dengan cara yang betul dan kebijakan yang luas - serta sedikit tuah - YB boleh saja melangkah lebih jauh sehingga menjadi perdana menteri. Sudah berapa ramai bekas menteri pendidikan akhirnya menjadi perdana menteri di negara kita ini.

Tapi itulah, kebijakan merangka dasar semata-mata tidak memadai untuk terus mendapat keyakinan ramai. Selain akal yang cerdas dan pertimbangan yang wajar, sifat ihsan dan mencontohi resmi padi juga sangat penting.

Cuma memanglah generasi muda sekarang jarang-jarang melihat padi. Kerana itu barangkali mereka lebih terpesona berkiblatkan ayam betina bertelur satu di kampung.

Di depan sana ada banyak sekali cabaran yang sedang menanti YB. Di tangan YB terletak nasib anak-anak kami. Cukuplah kegagalan sistem pendidikan yang ada ketika ini membawa kepada kekalutan yang tidak bertepi seperti sekarang.

Makhluk yang diikat lehernya

Jika YB mahu mendengar dan membumi, di sana sini kegagalan itu sedang berkembang dan membiak dengan pantas. Satu contoh mudah ialah melihat betapa cemasnya ibu bapa apabila mengetahui ada satu atau dua judul buku kerja anak mereka tidak dapat dibeli di kedai ketika sesi persekolahan akan bermula seminggu lagi.

Kekalutan itu seakan-akan mereka akan menyaksikan dengan mata sendiri runtuhnya Jabal Nur dan Jabal Uhud menandakan akan berlakunya kiamat pada esok hari.

Di sana juga masih berduyun-duyun orang yang percaya anak-anak mereka akan berjaya jika dipakaikan tali leher untuk menekuni pembelajaran dalam kelas yang serba panas dan merimaskan.

Oh, dalam bab ini mungkin YB kurang dapat memahami kerana seperti pegawai-pegawai kanan pendidikan, YB hampir setiap masa berada dalam bilik berhawa dingin. Ke sana dan ke sini berkereta besar - juga berhawa dingin. Di rumah pun tersedia penyaman udara.

Maka YB dan pegawai-pegawai kanan pendidikan barangkali tidak peduli bagaimana anak-anak kami kelemasan dipaksa oleh peraturan bebal di sekolah agar bertali leher di bawah panas dan cuaca lembab yang menyeksakan ini. Dan di sana ada ramai ibu bapa yang percaya anak mereka adalah orang yang berjaya apabila bertali leher.

Pada masa sama, di luar sekolah sebenarnya makhluk yang sering diikat lehernya cuma lembu dan kambing ternakan.

Kegagalan sistem pendidikan kita juga dapat dilihat kepada keghairahan kebanyakan orang membaham khabar-khabar angin dan bohong yang dilapah oleh politikus kita. Pedulilah siapa dan dari parti mana pun mereka, hal-hal perkauman jugalah yang memberikan inzal buat ahli politik itu pada saban masa.

Dan kita pun terpaksan menghabiskan begitu banyak masa untuk meredakan api itu.

Juga jika YB ada masa, bacalah komen-komen di bawah yang memberi reaksi kepada surat ini. Sesetengahnya, untuk menulis dengan ejaan yang betul dalam bahasa Melayu pun tidak mampu. 

YB yang dihormati,

Penekanan melampau dan mutlak kepada peperiksaan juga adalah musuh kepada pendidikan negara. Ia adalah pembunuh masa depan anak-anak kami. Dan jika YB mahu melihat lagi kesan kegagalan sistem pendidian yang memaksakan kecemerlangan akademik dan gred pada sijil peperiksaan, lihatlah kepada ibu bapa dan guru-guru yang cemas jika anak atau pelajar mereka gagal mendapat sederet 'A' dalam sesuatu ujian.

Dan kemudian kita akan mendengar lagi kisah-kisah pilu anak-anak yang memilih jalan salah hanya kerana gagal memberikan kepuasan kepada ibu bapa serta sekolah.

Maszlee sudah membuka jalan untuk menyedarkan orang ramai bahawa kejayaan peperiksaan semata-mata bukanlah matlamat akhir persekolahan. Beliau juga menggariskan beberapa dasar yang - meskipun mungkin drastik - dilihat boleh menyelamatkan sedikit negara dan bangsa ini.

Tapi itulah, kadang-kadang dia memilih untuk berseteru dengan orang yang tidak sepatutnya dimusuhi. Menyalahkan media, misalnya. Ia bukanlah langkah yang cerdik untuk seorang menteri. Ia kira-kira sama seperti seorang pemuda yang memilih untuk bermusuh dengan lelaki yang bakal menjadi bapa mentuanya.

Barangkali memang wajar berhati-hati dengan media, terutama dengan kebebasan yang diberikan Malaysia Baru ini. Di sana sini ada saja musuh politik yang mencari-cari peluang untuk menyerang. Tetapi meletakkan kecurigaan secara pukal begitu adalah kesilapan yang membinasakan.

Itu belum lagi kita bercakap mengenai kemampuan pasukan mereka menguruskan krisis. Jika dibicarakan, barangkali surat ini akan menjadi sebuah catatan amat panjang.

Doa orang tidak berdosa

Justeru wahai YB yang belum dinamakan ini, belajarlah sesuatu daripada Maszlee. Kerana insan yang baik adalah manusia yang belajar bukan saja daripada kejayaan orang, tetapi kesilapan mereka.

YB yang dihormati,

Seperkara lagi yang membuat ramai orang terasa kehilangan dengan peletakan jawatan Maszlee ialah harapan yang diberikan beliau kepada anak-anak istimewa. Atau dalam bahasa lain, anak-anak OKU.

Selepas agak lama anak-anak kelainan upaya ini kurang mendapat peluang, Maszlee memberikan sinar yang lama diharap-harapkan. Bukan saja kepada anak-anak tersebut, malah ibu bapa mereka juga.

Selain nasib pelajar biasa, pelajar daripada kalangan istimewa inilah yang perlu diberikan perhatian dan bantuan yang lebih banyak. Ketika peluang kepada mereka melanjutkan pembelajaran dibuka, pada masa sama ada cabaran lain yang perlu diatasi sebelum ia dapat digapai.

Untuk mendapatkan tempat di sekolah-sekolah vokasional pendidikan khas, misalnya, mereka - terdiri daripada golongan autistik dan cacat anggota dan sebagainya - terpaksa pula bersaing dengan pelajar aliran perdana yang agak lembam. Kadang-kadang persaingan itu kelihatan tidak adil dan mengetepikan pelajar istimewa tertentu.

Luangkanlah masa yang lebih banyak untuk mendekati bidang ini. Bertanya kepada guru-guru yang memiliki hati nurani serta empati sebenar. Jangan bertanya kepada pengetua atau guru besar semata-mata.

Ingat, kita sedang hidup dalam suasana masyarakat yang membesar dalam sistem pendidikan yang tidak berjaya serta tempang.

Di sekolah pula, tenaga pengajar dan pentadbir yang mengelolakan anak-anak istimewa itu juga belum tentu memiliki kemahiran yang sesuai. Pernah berlaku, guru dan pembantu murid melayan pelajar kurang upaya itu sama seperti anak-anak normal. Ditengking-tengking, misalnya, atau ditekan serta dimarah atas kesukaran mereka bertindak.

Perlu diingatkan, bukan kemahuan anak-anak itu menjadi begitu.


Baca Apa menteri kasut hitam dah buat?


Hal ini agak sulit untuk diberikan kefahaman, kecuali YB sendiri memiliki anak yang sedemikian. Justeru kadang-kadang terlintas juga untuk berharap agar biar ada ramai wakil rakyat kita yang dikurniakan anak istimewa ini. Mudah-mudahan mereka dapat memahami jerihnya ibu bapa membesarkan seorang anak yang tidak sama dengan anak orang lain.

Adakah selepas ini YB akan mengekalkan dasar penolakan sifar untuk anak-anak istimewa yang diperkenalkan Maszlee? Adakah kementerian YB akan memberikan lebih empati anak-anak - dan ibu bapa - golongan istimewa ini?

Pencitraan YB sebagai seorang menteri memang penting. Tetapi harapnya, janganlah keasyikan mencipta citra itu melekakan YB daripada tugas hakiki YB sebagai menteri.

Kata orang, anak-anak istimewa ini adalah anak-anak syurga. Mudah-mudahan, begitulah. Kalau YB terlupa, doa orang yang tidak berdosa itu amat makbul sifatnya. Dan kalau YB belum sedar, ibu bapa mereka juga adala orang yang menaikkan YB. Jangan terkejut kalau setahun dua lagi mereka akan membakulsampahkan YB dan kawan-kawan YB.

Sekian terima kasih. Semoga kita semua dirahmati oleh Tuhan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen