malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kes rasuah RM2.8 juta: Jawi sahkan status kahwin Bung-Zizie
ADS

Hari pertama perbicaraan kes rasuah RM2.8 juta oleh Anggota Majlis Tertinggi Umno Bung Mokhtar Radin dan pelakon Zizie Izette hari ini bermula dengan pendaftar perkahwinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang mengesahkan status pasangan suami isteri itu.

Nasir mengesahkan kesahihan sijil perkahwinan yang dikeluarkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, yang dirujuk kepadanya oleh Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry semasa pemeriksaan utama hari ini.

Semasa perbicaraan, peguam M Athimulan dan K Kumaraendran, yang mewakili Bung dan Zizie, memaklumkan hakim Rozina Ayob bahawa pihak pembelaan tidak akan memanggil saksi untuk pemeriksaan balas.

“Dokumen yang dirujuk kepada saya ini merupakan salinan surat perakuan nikah penama Bung Mokhtar Radin adalah pengantin lelaki kepada pasangannya iaitu penama perempuan Zizie Izette A Samad.

“Merujuk kepada salinan surat perakuan nikah ini saya mengesahkan bahawa Bung Mokhtar Radin telah bernikah dengan pasangnya Zizie Izette pada 9 Jun 2010 bersamaan 26 Jamadilakhir 1431,” kata Nasir ketika memberi keterangan.

Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen