malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lokman mahu saman AG jika tak dakwa kes video seks
Diterbitkan:  Dec 31, 2019 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM
ADS

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam memberi masa tujuh hari kepada Peguam Negara (AG) Tommy Thomas untuk mendakwa dua individu yang dipaparkan pada klip video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

"Maka hari ini saya hantar surat kepada Tommy Thomas dengan tempoh tujuh hari, untuk menjawab surat saya ini.

"Saya berikan tujuh hari kepada AG, dan jika mereka tidak menjawab apa status laporan polis (berhubung skandal video seks) yang saya buat pada 11 Jun, maka peguam saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap AG," kata Lokman di Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya hari ini.

Lokman turut mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan pihak polis untuk tidak meneruskan siasatan skandal itu yang turut melibatkan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Klip video seks yang menjadi kontroversi itu memaparkan dua lelaki dalam aksi seks sejenis.

Ia mula disebarkan pada 11 Julai lalu.

Haziq kemudian tampil mengaku bahawa dirinya merupakan individu dalam klip video yang menurutnya dirakam pada 11 Mei di Four Points Hotel di Sandakan, Sabah.

Haziq turut mendakwa individu bersamanya dalam klip video itu ialah Azmin.

Azmin menafikan dakwaan itu sebagai fitnah dan plot untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.

Sementara itu, Lokman hari ini juga mendakwa bahawa gesaan itu dibuatnya selepas mendapat maklumat dari dalam Jabatan Peguam Negara bahawa kertas pertuduhan terhadap dua individu dalam klip video itu sudah disediakan di bawah Seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan.

Beliau juga menggesa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed untuk menunaikan janji mendedahkan identiti mereka yang terlibat dalam video seks itu.

November lalu, Lokman berkata polis telah menghantar klip video seks itu ke sebuah universiti di Amerika Syarikat untuk dianalisis.

"Sangat pasti sebelum akhir tahun ini," kata Huzir sebelum ini ketika ditanya mengenai masa yang dijangkakan untuk mendapatkan keputusan analisis berkenaan.

Terdahulu hari ini, jurucakap MCA Chan Quin Er juga telah mengajukan soalan yang sama kepada Huzir.

Lihat Komen