LAPORAN KHAS | Dalam minggu terakhir program pengampunan Back For Good (B4G), Jabatan Imigresen seluruh negara dibanjiri imigran tanpa dokumen yang pada saat akhir tampil menyerah diri untuk dihantar pulang ke negara asal secara sukarela.
Meskipun tujuan program pengampunan itu bagi menawarkan situasi menang-menang kepada semua pihak, pada hakikatnya, ia mungkin tidak berjalan seperti diharapkan.
Sesetengah imigran hadir dengan persediaan, termasuk duit denda berjumlah RM700 bersama dokumen-dokumen diperlukan, serta tiket feri atau penerbangan untuk pulang ke kampung halaman mereka.
Bagaimanapun, ramai yang tidak menjangka mereka terpaksa menunggu giliran beberapa hari, bagi membolehkan permohonan mereka diproses.
Figo Kurniawan, pekerja asing tanpa dokumen sah dari Indonesia yang pulang ke negara asalnya beberapa hari sebelum tempoh pengampunan tamat tengah malam ini berkata, mereka dipaksa membuat pilihan, sama ada untuk pergi ke pejabat imigresen yang lain untuk berurusan - ada yang dari Selangor pergi ke Terengganu - atau membuat “bayaran tambahan” bagi memudahkan proses berkenaan.
Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini dari kampungnya di Kediri, Jawa Timur, Figo mengimbau semula pengalamannya di ibu pejabat Jabatan Imigresen Selangor.
Daripada 13 orang yang cuba memohon, termasuk dirinya, Figo hanya dapat pulang ke kampung halamannya pada 27 Disember lalu, bersama empat rakannya yang lain.
Dia pulang setelah 12 tahun bekerja di Malaysia dan mengakui tidak lagi mempunyai permit sah sejak 20 bulan lalu.
Katanya, pada 25 Disember tahun ini, akhirnya dia menerima bantuan daripada “seseorang” sehingga berjaya mendapat memo daftar keluar pada keesokannya harinya.
“Dia benar-benar menolong, bukan 'calo'… Dibelikan rokok pun dia tak mahu.
“Akhirnya kami berhasil mendapatkan memo daftar keluar kerana ditolong seseorang yang tidak akan saya sebutkan, kerana dia bukan 'calo',” katanya.
'Calo' merupakan istilah Indonesia yang merujuk kepada seseorang yang diupah untuk bertindak sebagai orang tengah atau perantara dalam sesuatu urusan.
Mereka pada awalnya terlepas penerbangan yang ditempah pada 22 Disember setelah gagal mendapatkan nombor pendaftaran, iaitu proses peringkat pertama daripada beberapa peringkat yang perlu ditempuhi untuk melengkapkan permohonan pengampunan tersebut.
“Ketika awal mendaftar saya datang hari Khamis petang (19 Disember), beratur untuk giliran esok pagi.
“Untuk dua hari (20 dan 21 Disember), saya beratur ‘normal’, tapi gagal (mendapatkan tiket pendaftaran) dan tiket (kapal terbang) saya hangus. Terpaksa saya beli lagi,” katanya lagi.
Selepas itu, Figo berkata mereka mengambil keputusan untuk tidur di taman yang terletak bertentangan dengan Kompleks PKNS Shah Alam.
Pejabat Jabatan Imigresen Selangor terletak di tingkat tiga bangunan itu.
Ketika tidur di situlah, kata Figo, dia mendapat tahu terdapat 'calo' yang membuat kerja-kerja untuk memudahkan urusan di Jabatan Imigresen itu, baik dari luar, mahupun dari dalam jabatan itu sendiri.
'Ada tiga jenis calo'
Menurut Figo, ada tiga jenis calo yang menawarkan khidmat. Pertama, yang beroperasi di luar kawasan pejabat Imigresen yang mengenakan bayaran beratus ringgit, dengan janji untuk menolong.
Bagaimanapun, katanya, calo jenis ini hanya akan menghantar mereka ke pejabat Imigresen dan meninggalkan mereka di situ.
Calo jenis kedua pula mengenakan bayaran sehingga RM200 dan mendakwa mampu “mengatur barisan sampai di atas pejabat”, namun Figo memperlekeh “perkhidmatan” ditawar mereka sebagai tak berguna memandangkan barisan sebenar hanya bermula betul-betul di luar pejabat Imigresen itu sendiri.
“Mereka perlakukan kami seperti binatang, betul-betul tak manusiawi. Dia bentak-bentak, dia tolak-tolak kami, padahal dia bukan pegawai siapa-siapa (bukan pegawai Imigresen). Hanya kerana mereka orang sini dan kami orang asing,” tambah Figo.
Menurut Figo, layanan yang diberikan terhadap mereka itu lebih pahit untuk ditelan berbanding duit yang perlu dibayar.
Menyambung ceritanya, kata Figo, setelah percubaan kali pertama gagal, dia beratur lagi untuk kali seterusnya sejak pagi bersama beratus pendatang yang lain, hanya untuk diberitahu untuk beredar oleh pegawai imigresen, itu pun setelah mereka dibiar beratur selama hampir sepuluh jam.
“Dengan bau-bau yang bercampur, kami mandi keringat, apa yang terjadi? Sudah pukul 4 baru pegawai Imigresen keluar sambil bilang 'Berdiri! Jalan! Sudah, turun sana!'
“Kalau hari itu tidak boleh layan, kenapa tidak awal-awal bagitahu? Kenapa seksa kami di lorong pengap, sempit dan penuh sesak?” luahnya.
Ditanda dengan penanda di lengan
Ceritanya lagi, semasa beratur, ada nama-nama yang dipanggil, membuatnya sedar tentang “calo jenis ketiga” yang dibayar sehingga RM500. Calo jenis ini, kata Figo, dipercayai bekerja dengan orang dalam, dan berhasil mengatur untuk nama pemohon dipanggil dan diberikan nombor pendaftaran.
Tambahnya, kerana berasa terdesak dengan situasi berkenaan, dia juga membayar RM350 kepada seseorang pada 24 Disember, namun urusannya sekali lagi tidak berjaya kerana menurutnya ada serbuan oleh pegawai Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari berkenaan.
Mujurlah, katanya dia mendapat semula wang itu daripada individu berkenaan.
Seorang sumber yang merupakan pegawai kanan di Imigresen Selangor, menafikan tuduhan berlakunya kerjasama sulit pegawai Imigresen dengan 'calo' seperti yang didakwa Figo.
Dia bersetuju ditemu bual dengan syarat identitinya tidak didedahkan.
Jelas beliau, tempoh antara 20 hingga 25 Disember memperlihatkan peningkatan mendadak bilangan pendaftaran, bukan sahaja di pejabat imigresen Selangor, malah di seluruh negara.
“Tiada caj (lain). Sesiapa yang datang pada hari-hari tersebut tapi tak dapat nombor, mereka akan diberikan temu janji hari berikutnya.
“Nama mereka akan direkodkan, dan nama itulah yang akan dipanggil,” katanya.
Nombor pendaftaran tersebut ditulis menggunakan pen penanda di atas salinan dokumen perjalanan pendatang berkenaan, juga di atas lengan mereka.
Ini berbeza daripada nombor yang dikeluarkan untuk perkhidmatan imigresen lain, yang yang dijana dan dicetak di atas slip kertas.
Semakan Malaysiakini di Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam mendapati proses manual yang sama (menggunakan pen penanda) turut digunakan, serta urusan dilakukan dengan kadar yang lebih cepat.
Pemberian nombor giliran untuk imigran yang beratur selesai dalam masa dua jam sejak kaunter dibuka pada kira-kira jam 8 pagi.
Ini berbeza sekali dengan apa yang dilihat oleh seorang lagi saksi di lokasi sama minggu lalu. Dia yang tidak mahu dinamakan, memberitahu Malaysiakini, bahawa dia ke jabatan itu pada 23 dan 24 Disember dan menyaksikan “keadaan huru-hara, dengan penyangak-penyangak (tout) menggunakan kekerasan” untuk mengawal imigran.
Apabila penduduk tempatan membuat aduan kepada pegawai Imigresen, mereka diberitahu bahawa telefon mereka akan dirampas sekiranya merakam kejadian itu, baik dalam bentuk gambar atau video.
Usaha Malaysiakini bagi mendapatkan komen Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzamee Daud terhadap kejadian awal yang berlaku di Jalan Duta itu, dipercayai mencetuskan usaha “pembersihan”.
Malah beberapa saksi mendakwa, ketika Khairul ke lokasi bersama sepasukan pegawai dan polis selepas daripada itu, terdapat beberapa penahanan dibuat.
Ketika diminta untuk mengesahkan perkara tersebut, Khairul hanya berkata jabatannya “memantau keadaan”.
Setakat semalam, semua imigran tanpa dokumen yang datang ke pejabat Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, ditempatkan untuk beratur di barisan khusus setelah mereka mendapat nombor masing-masing dan menghantar dokumen masing-masing.
Mereka juga beratur dalam keadaan yang lebih baik, di tingkat atas bangunan kompleks Kementerian Dalam Negeri yang mempunyai ruang yang luas.
“Selepas penghantaran dokumen, langkah seterusnya adalah untuk kami (Imigresen) merekodkan keterangan mereka, supaya dapat tahu berapa lama mereka tinggal lebih masa.
“Kemudian, kami bawa mereka ke kaunter biometrik untuk disenaraihitamkan, diikuti dengan proses kelulusan, pembayaran denda dan akhirnya pas (memo daftar keluar) akan dikeluarkan,” kata sumber Imigresen kepada Malaysiakini.
“Di sini, kami cuba selesaikan urusan setiap orang yang datang pada hari berkenaan.
“Selalunya, tidak akan ada kes yang tertunda,” kata seorang lagi pegawai bertugas semalam.
Tidak berperikemanusiaan
Ekoran lawatannya ke Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira meluahkan rasa terkejut apabila menyaksikan bagaimana nombor ditulis di atas lengan imigran.
Inisiatif Utara-Selatan merupakan NGO yang memantau beberapa perkara seperti hak asasi manusia, keadilan sosial, dan lain-lain, termasuklah hak asasi buruh.
“Bagi saya, itu sangat merendahkan martabat dan tidak berperikemanusian, untuk anda ‘cap’ nombor giliran di badan seseorang,” katanya.
Menurutnya, dia tidak merasakan B4G akan dapat menyelesaikan masalah lebih besar berhubung imigran tanpa dokumen di negara ini.
“Kita belum selesaikan masalah akar yang lain, seperti rasuah dalam sistem, proses pelantikan (anggota) yang lemah, dan juga kawasan sempadan yang tidak dipantau dengan baik di sekitar negara.
“Dari segi pengurusan migrasi buruh, masih banyak perlu dilakukan,” tegasnya.
Kembali ke Shah Alam, pemerhatian Malaysiakini pagi ini mendapati situasi seperti yang digambarkan Frigo, tidak lagi berlaku. Kurang daripada 100 imigran tanpa dokumen beratur dalam barisan sekitar jam 9.30 pagi.
Kkebanyakannya datang bersama keluarga, selain ada juga yang menggendong bayi.
Sejak sedekad lalu, kerajaan telah melancarkan sekurang-kurangnya tiga program pengampunan besar-besaran. Program yang terakhir dilakukan dari 2014 hingga Ogos tahun lalu. Ia menyaksikan 840,000 imigran tanpa dokumen pulang semula ke negara mereka.
Jumlah itu masih jauh di bawah anggaran jumlah imigran tanpa dokumen sah di negara ini, yang menurut Pereira, antara dua hingga empat juta orang, seperti yang disebut secara konsisten oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.
Bagi program kali ini, Khairul dilaporkan berkata sebanyak 138,901 imigran dihantar pulang dalam program B4G setakat 14 Disember lalu.
“Jadi ini menunjukkan masih ramai daripada mereka yang akan terus tinggal di Malaysia. Nasihat saya kepada pihak kerajaan, adalah untuk mengesahkan status (regularise) mereka tanpa syarat, memandangkan mereka sudah diambil bekerja di sini.
“Jangan pandang mereka sebagai ancaman keselamatan kerana itu hipokrit. Kita masih perlukan mereka,” kata Pereira yang turut menggesa KDN dan Kementerian Sumber Manusia bekerjasama untuk mengenal pasti permintaaan sebenar buruh pendatang di Malaysia.
Perangkaan sebenar program B4G ini dijangka diumumkan pada tahun baru, esok.