malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Sokong atau lawan Dr M' - Lokman gesa Umno buat pemilihan semula
Diterbitkan:  Dec 30, 2019 10:08 PM
Dikemaskini: 2:08 PM
ADS

Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam menggesa pemilihan semula parti itu didakan.

Jelas Lokman, ia adalah bagi membolehkan ahli parti memilih pasukan yang mahu bekerjasama denga Dr Mahathir Mohamad atau menentang pengerusi PH itu.

Lokman berkata, ia penting kerana menurutnya terdapat usaha pihak tertentu untuk berunding untuk menggabungkan Umno dan Bersatu.

Malah lebih malang lagi katanya, siasatan lembaga disiplin parti terhadap ketua gerakan itu telah dihentikan oleh kepimpinan utama Umno.

"Jika benar sebahagian dari kepimpinan Umno dan bekas pemimpin Umno lebih selesa mengambil pendekatan if we can't defeat them, we join them (jika tak boleh kalahkan mereka, kita sertai mereka), biarlah ahli memutuskan jika mereka bersetuju dengan cara Hishammuddin (Hussein) ini atau mereka lebih selesa dengan slogan 'No Retreat, No Surrender' (pantang undur, pantang menyerah).

"Daripada mengadakan EGM (mesyuarat agung luar biasa) untuk memutuskan keputusan mana yang mahu diambil oleh ahli parti, saya menyarankan agar pemilihan Umno dilakukan segera sebelum percantuman yang dijangka berlaku sebelum Mei 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong dikatakan menjadi dalang untuk membawa masuk wakil rakyat Umno menyertai Bersatu.

Ia dikuatkan lagi dengan pertemuan 21 anggota Parlimen BN termasuk Hishammuddin dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Azmin dan Hishammuddin sebelum ini dikatakan terlibat dalam usaha menggerakkan sokongan anggota parlimen terhadap Mahathir dan menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada mengantikannya sebagai perdana menteri.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan.

Pada 13 Dis lalu, Hishammuddin diberikan surat tunjuk sebab dan dikehendaki hadir di hadapan lembaga disiplin parti susulan mengadakan perjumpaan Azmin pada 18 Nov.

Prosiding disiplin terhadap Hishammuddin yang seharusnya berlangsung pada 26 Disember lalu ditangguhkan. 

Berikutan penangguhan itu, pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali, mengumumkan peletakan jawatan.

Susulan itu, Lokman mendakwa bahawa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi adalah individu yang menghalang prosiding disiplin terhadap anggota Parlimen Sembrong itu.

Sementara itu, dalam kenyataannya malam ini, Lokman mendakwa, perundingan yang dibuat Hishammuddin mendapat restu atau dipersetujui oleh beberapa kerat kepimpinan utama Umno yang sedang berhadapan dengan tuduhan di mahkamah.

"Amat mendukacitakan, selain dari berunding dengan pihak musuh, segelintir kepimpinan utama Umno masih gagal membiayai gerakan yang dilakukan oleh Umno-Umno Bahagian bagi memenangkan semula Umno dan Muafakat Nasional.

"Janji-janji sebelum pemilihan bahawa aset Umno akan dicairkan untuk membiayai program bahagian telah gagal ditunaikan.

"Lebih malang, dalam tempoh 18 bulan ini, saham UMNO dalam KUB, Utusan Malaysia, Media Prima telah dijual, namun bantuan untuk gerak kerja negeri dan bahagian-bahagian masih mengecewakan," katanya lagi.

Lihat Komen