malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pegawai SPRM pula buat aduan nafi serang anggota polis
ADS

Selepas dituduh melakukan kekasaran, kini giliran pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat aduan polis berhubung insiden semasa proses siasatan agensi penguatkuasaan itu berjalan baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pegawai terbabit menafikan dakwaan tiga anggota polis terbabit bahawa mereka diserang semasa dalam tahanan.

“Satu laporan polis dibuat oleh pegawai SPRM dengan menyatakan tuduhan berlaku serangan dalam tahanan terhadap anggota-anggota polis tersebut adalah palsu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Latheefa, pada masa sama SPRM memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis terhadap laporan tersebut.

Semalam media melaporkan tiga anggota polis mendakwa mereka cedera dipukul pegawai SPRM ketika hadir memberi keterangan di dalam sebuah bilik di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada 24 dan 26 Dis lalu.

Ketiga-tiga anggota polis berkenaan - dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh - mendakwa ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika proses mengambil keterangan dilakukan pegawai SPRM.

Laporan polis dibuat mereka pada 27 Dis.

Menurut Latheefa, anggota polis berkenaan sedang disiasat kerana didakwa melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.

Penyiasatan itu, katanya, merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi SPRM Selangor terhadap kegiatan pemerasan melibatkan anggota polis.

Tambahnya, SPRM meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan mana-mana suspek.

Bagaimanapun, tegas Latheefa juga, SPRM akan menyiasat tuduhan itu secara serius, dan tidak akan bertoleransi terhadap apa-apa jenis serangan dalam tahanan. 

Lihat Komen