malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
151 kematian direkod di depot tahanan imigresen sejak 2016
Diterbitkan:  Dec 29, 2019 9:17 PM
Dikemaskini: 1:17 PM
ADS

Sebanyak 151 kematian tahanan direkodkan di depot tahanan imigresen dari tahun 2016 sehingga 23 September 2019.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata kematian itu disebabkan oleh pelbagai penyakit yang dihidapi tahanan.

"Punca kematian yang dikenal pasti oleh pihak hospital adalah disebabkan penyakit jangkitan paru-paru, komplikasi jantung, kencing manis, sesak nafas, kegagalan fungsi organ dan sebagainya," katanya dalam satu jawapan bertulis menjawab pertanyaan dikemukakan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Jawapan itu sebagai respons kepada pertanyaan Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah kes kematian dalam pusat tahanan imigresen sejak Januari 2016 sehingga September 2019.

Dalam pada itu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan jumlah terkumpul kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang berada di depot tahanan Imigresen pada tahun 2018 adalah seramai 1,763 orang.

Manakala seramai 1,947 orang direkodkan pada tahun 2019 iaitu bagi tempoh 1 Januari sehingga 25 November 2019.

"Setelah melalui proses verifikasi dan dokumentasi, pecahan baki jumlah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang masih berada di depot tahanan Imigresen pada 25 November 2019 adalah seperti berikut.

"Daripada jumlah keseluruhan 306 orang tahanan kanak-kanak tersebut, majoriti berjumlah 120 orang merupakan warganegara Myanmar, diikuti oleh warganegara Indonesia seramai 109 orang dan warganegara Filipina dengan jumlah 19 orang.

"Proses pengesahan dan penyediaan dokumen perjalanan oleh perwakilan asing dilaksanakan semasa tempoh menunggu sebelum penghantaran pulang seseorang warganegara asing ke negara asal yang mengambil masa secara puratanya selama tiga bulan," katanya.

Ia merupakan respons kepada soalan Senator Adrian Banie Lasimbang pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara 9 Disember lalu.

Adrian meminta Menterian Dalam Negeri menyatakan jumlah kanak-kanak bawah umur 18 tahun yang ditahan tanpa ibu bapa di pusat tahanan imigresen seluruh negara dari Januari 2018 mengikut umur, jantina, depot tahanan, negara asal dan sebab tahanan.

Menurut jawapan Menteri Dalam Negeri terdapat dua kategori kanak-kanak yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen iaitu pertama, kanak-kanak dengan penjaga yang ditahan bersama ibu bapa yang telah melakukan kesalahan imigresen; dan kedua, kanak-kanak tanpa penjaga yang ditahan atas dasar kemanusiaan setelah dikenal pasti sebagai warganegara asing.

"Kanak-kanak ini seterusnya akan dirujuk kepada perwakilan asing untuk tujuan verifikasi dan dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal," jelasnya.

Lihat Komen