malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Isu dihadapi OKU bukan hanya dari sudut kebajikan
ADS

Isu melibatkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) sering kali dihadkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai pihak yang berperanan dalam menjaga kebajikan kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, hari ini sekumpulan aktivis OKU menuntut perubahan dilakukan.

Mewakili 17 kumpulan yang berkumpul hari ini, jurucakapanya Christine Lee berkata usaha bagi membantu golongan OKU terutamanya dalam memastikan mereka mudah bergerak perlu melibatkan pelbagai agensi di peringkat negeri dan pusat.

"Sebab itulah salah satu usul kami hari ini adalah untuk mengadakan Majlis Tindakan OKU di peringkat negeri.

"Sekarang kami (OKU) kebanyakannya diletakkan di bawah sektor kebajikan tetapi banyak masalah kami tidak dapat diselesaikan hanya melalui sudut kebajikan," kata Lee dalam sidang media Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI) di Petaling Jaya, hari ini.

"Keperluan kami merentasi pelbagai sektor... kami memerlukan pendidikan, pekerjaan, peluang, dan kami menyeru agar hak kami diketengahkan lagi secara meluas," katanya.

Dari segi kemudahan untuk bergerak, Lee menyatakan bahawa walaupun terdapat Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1986, masih terdapat kekurangan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan dari segi reka bentuk, yang mengambil kira akses kepada OKU.

Salah satu contoh ketidakpatuhan tersebut terletak hanya beberapa ratus meter dari unit rumah teres yang menempatkan persatuan terbabit.

Kumpulan OKU yang kebanyakannya pengguna kerusi roda, menunjukkan bagaimana mereka tidak dapat mengakses perhentian bas yang terletak di sepanjang jalan utama lorong dua hala yang sibuk kerana tidak ada jalan untuk membantu mereka melintasinya.

Mereka berkata bahawa turapan jalan itu sendiri terlalu tinggi, mengehadkan akses kepada bas awam dengan landasan yang dibina.

Pada masa yang sama, mereka juga tidak dapat menyeberang jalan kerana tiada akses ke jejantas terdekat.

Bagaimanapun, presidennya V Murugeswaran berkata Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merupakan salah pihak berkuasa tempatan di Selangor yang prihatin dari segi melakukan perubahan yang diperlukan.

"Kita dapat melihat banyak perkara telah berubah, terutamanya di sekitar bangunan MBPJ.

"Tetapi apa yang kami katakan ialah mereka (kerajaan negeri) juga harus memberi tumpuan kepada 12 pihak berkuasa tempatan lain di Selangor," katanya.

Beliau seterusnya menyeru semua pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk mendekati OKU di kawasan mereka untuk mengenal pasti langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil bagi kepentingan bersama.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia, Feilina Feisol menegaskan keperluan untuk menghormati hak OKU seperti kemudahan tempat meletakkan kereta.

Menurut Kamala Devi, 62 tahun, walaupun memiliki pelekat OKU pada motosikalnya beliau masih menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tempat parkir di Hospital Universiti di Petaling Jaya, bagi mendapatkan rawatan bagi dirnya dan suaminya.

"Saya tinggal di Old Town, PJ tetapi jika temu janji (dengan hospital) kami pada 9 atau 10 pagi, kami terpaksa keluar rumah pada jam 6 pagi.

"Kami boleh sampai di sana agak cepat tetapi sangat sukar untuk meletakkan kereta. Para pengawal meminta kami parkir di tingkat teratas ... bagaimana mereka mengharapkan kami melakukan itu?" katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata masalah biasa yang lain termasuk kesukaran untuk mengakses pelbagai jabatan di hospital itu sendiri, pada masa yang sama mereka perlu bertemu dengan doktor yang berlainan untuk pelbagai penyakit.

Sekumpulan aktivis OKU yang berkumpul hari ini turut mengangkat sepanduk yang menuntut hak mereka diberi perhatian oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Tuntutan lain yang dibangkitkan termasuk cadangan untuk kerajaan memperuntukkan belanjawan rentas sektor bagi merealisasikan matlamat yang ditetapkan di bawah Pelan Tindakan OKU 2016-2022 sedia ada.

[Baca berita asal]

Lihat Komen