malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) menyifatkan persepsi sesetengah rakyat Malaysia yang menyamakan parti itu sama dengan DAP adalah perkara lucu.

Bekas pengerusi PKM Abdullah CD, melalui jurucakapnya Indrajaya Abdullah, berkata pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) - yang menginspirasikan penubuhan DAP - terkenal sangat antikomunis.

"Jadi, untuk menjatuhkan DAP mereka, (penuduh) samakan parti itu dengan komunis - satu tuduhan yang sangat melucukan.

"Sebenarnya, DAP kalau kita kata (mengenai) sejarah, kita kata (pemimpin) PAP iaitu (pengasas PAP dan perdana menteri pertama Singapura) Lee Kuan Yew sangat antikomunis.

“Yang Kuan Yew katakan itu adalah sosialis, bukan komunis. Sosialis bukan komunis.

"Ertinya antikomunis, memang gerakan PKM di Singapura dihancurkan oleh Lee Kuan Yew, walaupun dia waktu itu jadi perdana menteri kerana sokongan-sokongan golongan kiri termasuk PKM, yang mengerakkan rakyat untuk menyokong PAP waktu itu," jelasnya dalam wawancara di rumah Abdullah CD.

Indrajaya Abdullah

Abdullah CD pemimpin Rejimen ke-10 PKM, yang kini sudah berusia 96 tahun dan mengalami masalah pertuturan, turut hadir menemani menantunya ketika wawancara berlangsung.

Indrajaya berkata apabila begitu berkuasa, Lee bukan sahaja menghapuskan PKM, tetapi juga gerakan kiri di Kota Singa itu.

DAP didaftarkan pada 1965 selepas pendaftaran PAP dibatalkan susulan perpisahan Singapura dari Malaysia.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di kampung pendamaian Chulaborn Patana 12, Narathiwat, baru-baru ini, Indrajaya justeru menyifatkan dakwaan bahawa PKM, yang dibubarkan 30 tahun lalu, mempunyai hubungan dengan DAP sebagai fitnah.

Salah satu persembahan dalam ulang tahun Perjanjian Hat Yai di Songkhla pada 2 Disember lalu, gambar hiasan

"Hubungan PKM dengan DAP bukanlah seperti apa yang disebut-sebut di Malaysia. Sebenarnya DAP adalah pecahan daripada parti PAP (Parti Tindakan Rakyat) Singapura. Ia langsung tak ada hubungan dengan PKM.

"Tapi, mungkin sesetengah pandangan mereka yang progresif melihat DAP bersesuaian dengan PKM juga. Tetapi bukannya DAP sama dengan PKM, itu fitnah," katanya yang juga menantu Abdullah CD dan pengerusi Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai.

Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai dianggotai bekas-bekas wakil yang terlibat dalam menjayakan Perjanjian Damai Hat Yai 1989 yang menamatkan perang Malaysia-PKM dan Thailand-PKM.

Juga dikenali sebagai Anas, Indrajaya berkata, rakyat Malaysia perlu tahu berkaitan agenda politik yang cuba mengaitkan DAP dengan PKM.

“Saya kata ini mungkin satu tujuan dari sesetengah politikus di Malaysia untuk menekan DAP, sebab mereka sudah berusaha dan mungkin sudah berjaya menanam satu pemikiran dalam kalangan rakyat kononnya komunis jahat,” katanya.


Berkaitan: Kerana pendamaian, nyawa tak lagi terkorban - bekas ahli PKM


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen