malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PM: M'sia tak campur hal China tapi iktiraf hak pelarian Uyghur
Diterbitkan:  Dec 27, 2019 2:30 PM
Dikemaskini: 6:32 AM
ADS

PARLIMEN | Malaysia mengulang pendiriannya untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman China walaupun terdapat gesaan supaya Putrajaya menjadi pengantara antara China dan etnik Uyghur di wilayah Xinjiang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam jawapan bertulis parlimen mengakui kewujudan penindasan terhadap kumpulan minoriti Islam di Xinjiang.

"Malaysia mengamalkan Dasar Luar Negara yang sentiasa memperjuangkan hak untuk setiap negara supaya menyelesaikan masalah dalamannya tanpa campur tangan dari pihak luar.

"Isu penindasan umat Islam di seluruh dunia termasuk ke atas etnik Uyghhur di wilayah Xinjiang, China wujud dan perlu diakui oleh semua pihak.

"Namun, dalam hal pelarian Uyghur, kerajaan berpendirian untuk tidak campur tangan di dalam hal ehwal dalaman Republik Rakyat China," katanya.

Dr Mahathir menjawab soalan Anggota Parlimen Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang bertanya jika Malaysia akan mengambil pelarian Uighur atau menghantar mereka ke negara ketiga.

"Justeru, sekiranya terdapat pelarian Uyghur yang melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan, Malaysia tidak akan mengekstradisi pelarian Uighur walaupun terdapat permohonan daripada Republik Rakyat China.

"Mereka dibenarkan untuk pergi ke negara ketiga kerana mereka mempunyai ketakutan berasas ke atas keselamatan dirinya atau berkemungkinan berlaku penganiayaan terhadapnya, yang mana pada pertimbangan dirinya tidak akan mendapat perlindungan yang adil di negara asalnya," kata jawapan bertulis perdana menteri.

M'sia jadi perantara

Pemuda Bersatu (Armada) dalam suatu kenyataan pada 25 Disember mencadangkan Malaysia menjadi perantara antara kerajaan China dan etnik Uyghur berhubung konflik di wilayah Xinjiang.

Ini kerana Malaysia berpengalaman luas menggalas peranan itu seperti dalam usaha perdamaian antara pihak pemisah Islam dengan kerajaan Thailand dan Filipina, kata sayap Bersatu itu.

China mendakwa kem pendidikan semula di Xinjiang bertujuan membanteras ekstremisme. Media rasmi republik itu telah menerbitkan dua dokumentari mendakwa kegiatan keganasan di Xinjiang.

Sementara itu, pada 9 Disember lalu, dilaporkan seorang pegawai kerajaan China menyatakan semua tahanan di pusat tahanan di Xinjiang telah dibebaskan.

Pengerusi kerajaan wilayah autonomi Xinjiang, Shohrat Zakir dipetik BBC berkata tahanan di pusat yang disebut sebagai "kem pendidikan semula" itu dibebaskan setelah "tamat pengajian".

Bagaimanapun BBC berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan Zakir.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis hak asasi manusia mengatakan sekurang-kurangnya sejuta orang Uighur dan warga minoriti Muslim lainnya telah ditahan di kem di Xinjiang.

Pada 24 Disember, kumpulan NGO yang diketuai oleh Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) berkumpul di luar kedutaan China di Kuala Lumpur untuk menyerahkan satu memorandum yang mengutuk layanan Beijing terhadap Uyghurs.

Jurucakap kedutaan China, Tang Tang dalam memberi maklum balasnya berkata, sementara Beijing terbuka terhadap kritikan yang membina, ia "tidak akan pernah menerima tuduhan tidak bertanggungjawab, tidak berasas yang berdasarkan kepalsuan.

September lalu, Mahathir berkata negara-negara Islam berdiam diri mengenai penganiayaan terhadap Uyghurs kerana China ialah negara yang sangat berkuasa.

Beliau berkata negara-negara tersebut perlu mencari cara lain dalam menanggapi China.

"Anda tidak cuba berbuat sesuatu yang akhirnya akan gagal, jadi lebih baik cari cara lain yang kurang berseteru agar tidak terlalu mencetuskan kemarahan China kerana China memberi manfaat kepada kami.

"Tentunya negara itu rakan dagang besar kami, dan anda tidak mahu berbuat sesuatu yang akan gagal, dan dalam proses itu, mendapat kesusahan," katanya.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur baru-baru ini yang menghimpunkan para pemimpin dan ulama Islam untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh negara-negara Islam, juga tidak menyentuh isu Uyghur.

Lihat Komen