malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Putra: Skuad buru Pati bukan 'vigilante', nak bantu pihak berkuasa
ADS

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempertahankan langkah penubuhan skuad "memburu" pendatang asing tanpa izin (Pati) atau mereka yang tinggal lebih masa, ketika mengumumkan pelancarannya hari ini.

Presiden Putra Ibrahim Ali berkata, skuad itu bukan vigilante (sukarelawan yang mengawasi keselamatan) tetapi seperti Cawangan Khas (SB) polis.

"Sukarelawan ini lebih seperti pemberi maklumat, kalau dalam polis macam SB.

"Kita nak tindakan diambil dalam masa 24 jam, bukan selepas tiga hari. Sebaik kita buat laporan, kita ada rekod, barulah (dapat jamin) keberkesanan.

"Sebab kita tahu dalam polis, imigresen dan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia),...ada bocor (maklumat). Saya tak tuduh semua berperangai buruk, tetapi antara isu besar dalam negara kita adalah rasuah," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menegaskan Putra tiada niat untuk campur tangan dalam peranan pihak berkuasa, Ibrahim berkata skuad sukarelawan Putra akan memastikan pihak berkuasa mengambil serius laporan mereka.

Beliau mendakwa ada ramai pelancong yang tinggal di Malaysia melebihi waktu yang dibenarkan.

"Mengapa mereka datang dan tak balik (ke negara asal)? Kenapa pelancong yang ke Thailand, Singpaura, Indonesia dan Australia, mereka terpaksa balik?

"Dan mereka yang datang (ke negara itu) tak seramai yang ke Malaysia," katanya lagi.

Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya tidak mengiktiraf mana-mana skuad sukarelawan untuk "memburu" pendatang asing tanpa izin.

Merujuk pengumuman yang dibuat oleh Putra sebelum ini, ketua pengarahnya Indera Khairul Dzaimee Daud berkata ia adalah peranan pihak berkuasa dan mengingatkan pihak awam agar tidak membuat tindakan sendiri.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Putra Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata pihaknya kini menunggu pertemuan dengan Dzaimee dan ketua polis negara untuk berbincang tentang skuad sukarelawan itu.

Menurutnya, surat telah dihantar untuk memohon pertemuan dengan kedua-duannya pada 23 Disember lalu.

Setakat ini, katanya lagi, Putra telah mendaftar sejumlah 2,012 sukarelawan.

"Kita nak selaras dengan pihak berkuasa agar mereka (sukarelawan) tak dilihat sebagai vigilante. Kita tak akan buat perkara yang bertentangan dengan undang-undang," katanya lagi.

Lihat Komen