malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Imigresen tak iktiraf 'skuad Putra' buru pendatang tanpa izin
Diterbitkan:  Dec 26, 2019 4:12 PM
Dikemaskini: 8:51 AM
ADS

Jabatan Imigresen Malaysia mengingatkan mana-mana pihak, termasuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), agar tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam membanteras pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Indera Khairul Dzaimee Daud, ia merupakan tugas pihak berkuasa berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Jabatan Imigresen merujuk kepada laporan media sosial dan kenyataan mengenai penubuhan sukarelawan Putra bagi memburu pelancong asing yang tinggal lebih masa.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa membanteras Pati adalah tugas pihak berkuasa berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Tiada mana-mana pihak atau pertubuhan diberikan kuasa di bawah undang-undang untuk memburu Pati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia susulan laporan berkenaan pengumuman Putra untuk mengerahkan sejumlah 1,300 sukarelawan di seluruh negara untuk membantu operasi Jabatan Imigresen, selepas tamatnya program Back For Good pada tengah malam 31 Disember ini.

Program Back For Good adalah program pengampunan kepada pendatang tanpa izin yang bermul pada 1 Ogos lalu, di mana mereka perlu mendapatkan dokumen perjalanan dan tiket penerbangan sendiri, dan membayar kompaun sebanyak RM700 kepada Jabatan Imigresen sebelum pulang ke negara masing-masing.

Mereka yang tidak berbuat demikian bakal berdepan tindakan tegas menerusi operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata pihak awam yang ingin membantu operasi Jabatan Imigresen boleh menyaluran maklumat kepada pihaknya.

"Walaubagaimanapun, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri.

"Berdasarkan Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63, kuasa untuk menjalankan tangkapan terhad kepada pegawai imigresen, polis dan kastam sahaja," katanya lagi.

Bagaimanapun Presiden Putra Ibrahim Ali hari ini mempertahankan skuad itu, dengan berkata ia bukan vigilante (sukarelawan yang mengawasi keselamatan), tetapi untuk membantu pihak berkuasa.

Timbalannya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz pula mengumumkan pihaknya sedang menunggu pertemuan dengan Dzaimee dan ketua polis negara untuk membincangkan perkara itu.


Lihat Komen