malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ketua uskup seru pemimpin agama guna pertimbangan akal, hati budi
ADS

Ketua Uskup Kuala Lumpur, Julian Leow Beng Kim berharap pemimpin pelbagai agama di Malaysia menggunakan pertimbangan akal dan hati budi dalam mengukuhkan hubungan dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Perbezaan makanan, perayaan, ibadat, anutan inilah yang menjadikan kita rakyat Malaysia.

“Kita adalah faktor kepelbagaian ini yang menjadikan kita rakyat Malaysia. Jangan kita lupa siapa kita," kata Leow ketika berucap di majlis jamuan teh anjuran Yayasan Kristian Malaysia (CFM), di Kuala Lumpur, petang tadi, sempena sambutan Hari Natal tahun ini.

Beliau berkata amalan menyampaikan ucapan perayaan telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia dan perlu diteruskan.

“Sudah tentu akan jadi hari paling menyedihkan dalam sejarah Malaysia seandainya kita tidak lagi boleh mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada penganut Kristian, atau Selamat Hari Deepavali kepada penganut Hindu, atau Selamat Hari Wesak kepada penganut Buddha.

“Kita berdoa semoga pemimpin agama masih ada pertimbangan akal dan hati budi untuk menggalakkan usaha mengukuhkan ikatan persahabatan dalam kalangan rakyat Malaysia, dan bukannya merenggangkan sesama kita,” tambahnya.

Persoalan sama ada umat Islam dibenarkan untuk mengambil bahagian atau memberikan ucapan kepada bukan Islam semasa perayaan agama lain sering ditanya dan diperdebatkan dengan golongan ulama memberikan pandangan berbeza.

Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah salah seorang daripada ulama yang menyatakan amalan itu dibenarkan selagi dilakukan dengan niat untuk mempromosikan semangat muhibah di kalangan kaum.

Leow, yang juga naib presiden CFM, berkata mereka akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak untuk membawa perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

"Kita dipanggil untuk membina jambatan, bukan dinding.

"Sama ada dalam politik, hubungan kaum, krisis ekonomi, perselisihan di kalangan keluarga atau masyarakat, kita berdepan cabaran untuk menjadi pendamai dan mencari jalan untuk terlibat dalam dialog," katanya.

Liew turut memetik mesej bertajuk “Peaceful Co-Existence the Right Way” (Jalan benar hidup bersama dengan damai) oleh Mufti Wilayah yang tidak dapat hadir pada majlis itu.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah, yang merupakan salah seorang tetamu kehormat yang hadir berkata pemahaman yang lebih progresif terhadap konsep itu bukan sahaja melibatkan perdamaian tetapi juga rasa saling menyukai antara satu sama lain.

"Kamu boleh duduk bersebelahan antara satu sama lain, kamu boleh menghormati antara satu sama lain dan tanpa berkata apa-apa, tetapi adakah kamu akan bekerjasama dan hidup secara aman.

"Adalah penting untuk kita menyukai satu sama yang lain bagi membolehkan kita memahami dan bekerjasama, dan dengan itu hidup secara aman akan menjadi relevan," katanya.

Sambutan Hari Krismas tahun ini diadakan di tengah-tengah perdebatan hangat mengenai cadangan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan pelajaran Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Dengan dua perhimpunan anti-Jawi yang akan diadakan hujung minggu ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain memberi amaran kepada penganjur agar tidak mengundang sebarang himpunan yang akhirnya boleh membawa kepada kekacauan.

Hadir sama pada majlis tersebut Menteri Industri Utama Teresa Kok, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Kamal Shirin Lakhdir, dan Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Lihat Komen