malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kebebasan bersuara bukan tiket untuk memfitnah
ADS

Penyokong dan pimpinan parti pembangkang di negara ini diingatkan supaya menggunakan ruang kebebasan bersuara dengan sebaik mungkin.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berkata semua pihak diharap tidak menjadikan keterbukaan kerajaan sebagai tiket untuk menyebarkan fitnah.

"Ruang dan kebebasan bersuara yang diamalkan kerajaan PH ini sepatutnya diambil kesempatan positif dalam menjayakan agenda kematangan berpolitik dan kemajuan masyarakat.

"Sebaliknya bukan tiket untuk menyebarkan fitnah dan perkara palsu terhadap kerajaan persekutuan," katanya kepada Malaysiakini selepas membuat laporan polis terhadap seorang penceramah yang mendakwa Malaysia adalah negara komunis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan laporan polis sama dibuat seorang anggota jawatankuasa Amanah Kawasan Bukit Gantang, Muhamad Nur Ismail, terhadap penceramah berkenaan.

Semakan Malaysiakini mendapati video ceramah tersebut dimuat naik di sebuah laman Facebook bernama Malaysia Sentral, semalam.

Rakaman video berdurasi 16 minit itu tidak dapat dipastikan sama ada ia disunting atau tidak.

Antara ucapan individu tersebut berbunyi:

"Hari ini kita kena sedar bahawa negara kita adalah negara komunis, kita bukan diperintah oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai pemimpin Islam, yang mengaku mereka adalah pemimpin rakyat Malaysia tetapi mereka adalah pemimpin komunis dan mementingkan bangsa mereka untuk menghancurkan negara kita Malaysia."

Bagaimanapun usaha Malaysiakini mendapatkan reaksi penceramah tersebut belum berhasil.

Sementara itu, Hazmi menegaskan pihaknya berharap tindakan tegas dan siasatan lanjut diambil terhadap individu tersebut.

Katanya, pimpinan parti pembangkang khususnya yang menggunakan 'jenama Islam' sepatutnya mengawal dan menasihati penyokong mereka daripada melakukan fitnah yang amat dilarang dalam Islam.

"Dakwaan yang berbaur fitnah seumpama ini tidak boleh dibiarkan menjadi barah kronik yang menghalang usaha berterusan kerajaan untuk mensejahterakan negara.

"Kita juga berharap pihak berkuasa melalui pelbagai agensi dapat memantau kejadian seumpama ini dan tindakan tegas perlu diambil sekali gus memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengulangi," katanya.

Lihat Komen