malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Isu di Kuala Terla boleh selesai cara baik jika peneroka guna saluran betul'
ADS

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata pertikaian berhubung tanah di Kuala Terla, Cameron Highlands dapat diselesaikan dengan baik sekiranya menggunakan pihak peneroka menggunakan "saluran yang betul".

Kata Noor Hariri, kenyataan di media massa dan media sosial berhubung isu itu telah menimbulkan kekeliruan dan persepsi yang buruk.

"Berita berat sebelah tersebut hanya menyalahkan menteri besar Pahang tanpa mengetahui perkara sebenar secara tuntas," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pegawai khas (wakil India) Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail bertindak meletakkan jawatan apabila kecewa dengan keputusan kerajaan negeri itu berhubung pengusiran 60 pekebun di Kuala Terla.

Malah, 11 ahli majlis daripada MIC juga menarik diri daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai tanda tidak puas dalam isu tanah pendudukan sementara (TOL) di Kuala Terla.

Selain itu seramai tujuh orang, termasuk bekas anggota parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan ditahan polis susulan protes terhadap operasi penguatkuasaan yang berlangsung, semalam.

Operasi yang dinamakan Operasi Lestari ini melibatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Sungai Inchat di Kuala Terla yang bermula sejak minggu lepas.

Dalam perkembangan isu sama, Adun DAP P Ramasamy mempertahankan dakwaannya yang mengatakan MIC memujuk pekebun untuk menarik semula injunksi interim yang diperoleh mereka terhadap kerajaan negeri, dengan menjanjikan situasi menang-menang.

Ramasamy juga menyatakan kesediaan berdepan dengan MIC di Mahkamah, selepas Setiausaha Agung MIC, M Asojan mengancam untuk memfailkan saman fitnah sekiranya timbalan ketua menteri Pulau Pinang II itu enggan menarik semula tuduhannya.

Sementara itu Noor Hariri berkata, pihaknya menyeru agar rakan-rakan MIC supaya menenangkan peneroka haram terbabit dan mengawal mereka semua daripada "termakan hasutan DAP serta aktivis-aktivis goblok".

"Usahlah mengapi-apikan isu ini kerana perundingan adalah cara yang terbaik untuk penyelesaian.

"Janganlah kita termakan umpan fitnah DAP yang ingin melaga-lagakan hubungan utuh antara Umno dan MIC. Kesilapan kumpulan kecil ini akan menyebabkan orang lain menerima akibatnya, bak kata pepatah; Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua," ujarnya.

Dalam perkembangan sama Noor Hariri turut mendakwa bahawa PH yang menabur janji manis kepada pekebun terbabit, sebaliknya bukan kerajaan Pahang.

"Cuba kita lihat kembali, pihak mana yang dulu berjanji bulan dan bintang dengan peneroka kalau bukan Pemimpin PH-DAP.

"Janji manis tersebut tentunya dibuat demi meraih undi kesemua peneroka haram tersebut semasa PRK Cameron Highland awal Januari 2019 yang lepas. Dan nyata, DAP berjaya meraih undi mereka.

"Ini berbeza dengan pihak kerajaan negeri apabila menteri besar tidak sesekali membuat janji-janji manis berbentuk retorik demi menjaga maruah BN, walaupun kita juga ingin mendapat undi di Kuala Terla.

"Ini kerana prinsip menteri besar Pahang sangat mudah, apa jua keputusan perlu merangkumi keseluruhan faedah dan keselamatan rakyat setempat," katanya.

Lihat Komen