malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KPDNHEP Kelantan rekod rampasan lebih RM400k sepanjang 2019
ADS

Lebih RM400,000 nilai pelbagai barangan kawalan yang cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan sepanjang tahun 2019.

Pengarah KPDNHEP negeri, Adnan Abd Rahman berkata, barang kawalan itu antaranya minyak masak, tepung gandum dan petrol dirampas dalam operasi dijalankan pelbagai agensi yang membuat kawalan di sempadan.

Menurutnya, semua barang kawalan itu kemudiannya diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

"Sejak Januari sehingga Disember ini, kita merekodkan sebanyak 83 kes dengan jumlah keseluruhan barang kawalan bernilai RM432,279.70 dirampas oleh pelbagai agensi di sempadan.

"Kita tidak menolak kemungkinan barang kawalan ini mendapat permintaan tinggi di sana kerana harga murah dan lebih yakin dengan kelulusan (status) halal produk kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) di Mydin Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman pada majlis di Mydin Kubang Kerian.

Sehubungan itu katanya, pihak KPDNHEP Kelantan berterima kasih kepada pihak berkuasa yang membantu dan memberi kerjasama dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan di negeri itu.

"Kita berterima kasih kepada pihak berkuasa di sempadan yang memberi kerjasama baik dalam membantu mengekang aktiviti penyeludupan khususnya barang kawalan di negeri ini," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Adnan berkata, KPDNHEP mewujudkan pelan kontigensi sebagai langkah menangani gangguan bekalan barang kawalan semasa berlaku bencana alam khususnya banjir yang berlaku kini.

Jelasnya, sebanyak 114 pemegang lesen borong barang kawalan dilantik sebagai pemegang stok mini.

"Mereka diberikan kebenaran menyimpan stok barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had kuantiti semasa yang dibenarkan dalam lesen sebagai stok penimbal.

"Secara keseluruhannya, terdapat 40 pemegang stok mini barangan kawalan melibatkan daerah Kota Bharu, 27 di Pasir Mas, 12 di Tanah Merah, 22 di Kuala Krai dan 13 Gua Musang," katanya.

Lihat Komen