malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ICC bakal siasat dakwaan jenayah perang di Palestin
Diterbitkan:  Dec 21, 2019 9:25 AM
Dikemaskini: 1:25 AM
ADS

GLOBAL | Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Fatou Bensouda dilaporkan berkata dia akan melancarkan siasatan penuh terhadap dakwaan jenayah perang yang berlaku di Palestin.

Menurut Reuters semalam, ia akan dibuat sebaik bidang kuasa ICC berkenaan perkara itu ditetapkan, susulan status perundangan kawasan Palestin yang menjadi pertikaian, dan Besnouda telah memfailkan permohonan berhubung perkara itu.

Bensouda berkata, pemeriksaan awal terhadap dakwaan jenayah perang yang dibuka pada 2015 telah memberikan maklumat yang cukup untuk siasatan penuh dibuka.

"Saya berpuas hati...jenayah perang telah berlaku dan sedang dilakukan di Tebing Barat, termasuk Jerusalem Timur, dan Semenanjung Gaza.

"Saya telah mendapatkan pengesahan bahawa 'kawasan' di mana mahkamah boleh melaksanakan bidang kuasanya, dan yang akan saya masukkan dalam siasatan, merangkumi Tebing Barat, termasuk Jerusalem Timur, dan Semenanjung Gaza," katanya dalam kenyataan, seperti dipetik Reuters.

Berkenaan permohonannya terhadap penetapan bidang kuasa itu, Bensouda berkata dia telah meminta mahkamah untuk "memutuskan dengan cepat" dan membenarkan mereka yang boleh dianggap sebagai mangsa untuk menyertai prosiding.

Menurut Reuters lagi, pengumuman itu membuka kemungkinan pendakwaan difailkan terhadap pihak Israel dan juga Palestin.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengalu-alukan perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah yang sudah tertangguh begitu lama.

"...Selepas pemeriksaan awal selama lima tahun yang panjang dan sukar," kata PA dalam kenyataan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula menyifatkan ICC tiada kuasa dalam kes itu.

"ICC hanya ada bidang kuasa ke atas petisyen yang dihantar negara yang berdaulat. Tetapi negara Palestin tidak pernah wujud," katanya dalam kenyataan.

Mahkamah antarabangsa itu mempunyai kuasa mendengar kes jenayah perang, genosid dan jenayah kemanusiaan di kawasan dalam 123 negara yang menyertainya.

PA menyertai ICC manakala Israel bukan sebahagian anggotanya.

Tahun lalu, pendakwa ICC memaklumkan pemeriksaan awal di Tebing Barat menumpukan "laporan kegiatan berkaitan penempatan oleh pihak berkuasa Israel", yang disifatkan Palestin dan banyak negara lain sebagai tidak sah mengikut Konvensyen Geneva, walaupun Israel menafikannya antara lain atas dasar keperluan keselamatan dan faktor sejarah dan politik di kawasan itu.

Lihat Komen