malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kakitangan syarikat pembersihan didakwa eksploitasi pekerja direman 3 hari
ADS

Kesemua 51 pekerja syarikat perkhidmatan pembersihan yang diselamatkan dalam satu serbuan di Klang, Selangor semalam kini ditempatkan di bawah perlindungan sementara siasatan dijalankan terhadap dakwaan eksploitasi dan unsur buruh paksa yang dikenakan terhadap mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh berkata, Mahkamah majistret Klang hari ini meluluskan permohonan arahan perlindungan sementara (IPO) selama 21 hari.

"Semua 51 pekerja kini ditempatkan di rumah perlindungan.

"Siasatan sedang dibuat terhadap dakwaan mereka menjadi mangsa buruh paksa," katanya kepada Malaysiakini.

Nurulhuda Mohd Salleh

Semalam, sumber memberitahu Malaysiakini satu serbuan melibatkan pelbagai agensi dibuat ke syarikat tersebut, beberapa minggu selepas sekumpulan bekas pekerja membuat aduan berkenaan dakwaan eksploitasi kepada NGO antarabangsa untuk hak pekerja asing, Migrant Care.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa menahan dua rakyat Malaysia yang dikenal pasti sebagai pekerja syarikat itu, serta seorang pekerja agensi pengambilan kerja yang menggunakan premis sama.

Nurulhuda memaklumkan polis telah mendapat perintah reman tiga hari terhadap seorang warga Malaysia yang juga pekerja syarikat pembersihan itu, mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Seksyen itu berkenaan kesalahan pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi, dan boleh dihukum tidak lebih 15 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Difahamkan pemilik syarikat pembersihan itu kini berada di luar negara.


Baca: Syarikat pembersihan di Klang diserbu, 51 pekerja diselamatkan


Sementara itu, sumber dari Jabatan Tenaga Kerja memberitahu Malaysiakini bahawa seorang lagi warga Malaysia yang ditahan ketika serbuan - dikenal pasti sebagai pekerja agensi pengambil kerja yang menggunakan premis sama - telah dibebaskan.

"Dia dibebakan selepas keterangan diambil.

"Berkenaan syarikat pembersihan, kita juga telah ambil keterangan daripada pekerja (yang direman) yang mengendalikan jadual pekerja," katanya lagi.

Wakil Migrant Care di Malaysia Alex Ong baru-baru ini mendakwa bahawa mereka yang dibawa untuk bekerja di syarikat perkhidmatan pembersihan itu juga dipaksa untuk bekerja sebagai pembantu rumah oleh agensi pengambilan pekerja itu, yang di bawah syarikat induk yang sama (sister company).

Dia berkata beberapa pekerja sudah dibuang baru-baru ini setelah cuba membuat protes terhadap tindakan majikan yang didakwa tidak membayar gaji dan melakukan unsur buruh paksa lain ketika bekerja.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen