malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pesara swasta korban pertama banjir gelombang kedua Kelantan
ADS

Banjir gelombang kedua di Kelantan mencatatkan mangsa berpindah seramai 2,539 orang membabitkan 885 keluarga di enam daerah, sejak semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan dalam kenyataan hari ini berkata, enam daerah tersebut ialah Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Pasir Mas.

Sehingga jam 2.30 petang tadi, kata jabatan itu, sebanyak 36 buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, membabitkan empat di Kuala Krai; 12 di Jeli, 16 di Tanah Merah, dua di Machang dan masing-masing satu di Pasir Puteh dan Pasir Mas.

Dalam perkembangan sama, seorang pesara ditemui meninggal dunia akibat lemas di pekarangan rumahnya di Kampung Renak, Bukit Bunga, Jeli, pagi tadi.

Suhaimi Ismail, 57, dikatakan lemas kira-kira jam 9 pagi sebelum ditemui oleh orang kampung sejam kemudian.

Difahamkan mangsa dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras apabila rumahnya dilanda banjir. Insiden itu Suhaimi sebagai korban pertama banjir gelombang kedua di Kelantan setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.30 pagi dan dalam perjalanan ke lokasi kejadian sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari rumahnya.

"Mangsa yang juga pesara swasta itu dipercayai cuba menyelamatkan diri kerana rumahnya ditenggelami air setinggi 1.5 meter.

“Ketika menyelamatkan diri, mangsa dibawa arus yang agak deras sebelum ditemui oleh orang kampung kira-kira satu jam kemudian," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Mohd Adni, jenazah mangsa kemudian ditempatkan sementara di Klinik Kesihatan Bukit Bunga sebelum dihantar ke Hospital Jeli untuk tindakan lanjut.

Lihat Komen