malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘2 bulan berlalu, Nik Amar masih tunggu surat balasan Putrajaya’
ADS

Kerajaan Kelantan ternanti-nanti jawapan Kementerian Pembangunan Luar Bandar berhubung status Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang ditubuhkan bersama antara pusat dan negeri.

Ia susulan pengumuman bahawa majlis itu akan digantikan oleh Majlis Pembangunan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKK Persekutuan), tahun depan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri sudah menghantar surat kepada kementerian berkenaan sejak dua bulan lalu, namun tiada maklum balas sehingga kini.

Beliau yang popular dengan panggilan Nik Amar berkata, penubuhan MPKK Persekutuan ia hanya diketahui melalui kenyataan oleh Pengerusi Kesedar, Sazmi Miah dan laporan media.

"Selepas kenyataan (Sazmi) itu kerajaan negeri menghantar surat secara rasmi kepada kementerian dan minta pencerahan apa sebenarnya akan berlaku.

"Tetapi sayangnya sehingga hari ini tiada jawapan rasmi daripada kementerian tentang persoalan kita. Jadi (perkara) ini tidak jelas.

"Tiada masalah dengan penubuhan MPKK Persekutuan kita tak pertikai sebab itu bidang kuasa kementerian.

“Tetapi apa status MPKK?" soalnya ketika ditemui media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Malaysiakini pada 21 Oktober melaporkan Sazmi sebagai berkata pembentukan MPKK Persekutuan akan membatalkan fungsi MPKK.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, penubuhan MPKK sebelum ini dibuat secara rasmi dan jika mahu dimansuhkan sekali pun mesti dibuat secara rasmi juga.

"Jadi sampai hari ini kita tidak terima keputusan rasmi. Kementerian perlu buat penjelasan," katanya.

Ditanya persediaan kerajaan negeri sekiranya MPKK dimansuhkan, anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor itu berkata, pihaknya akan menggunakan sistem lama.

"Kita akan balik asal, sebab penghulu atau ketua kampung pun masih menerima elaun daripada kerajaan negeri. Kita akan balik asal, tiada masalah," kata Mohd Amar.

Sebelum MPPK dilaksanakan, Kelantan mempunyai dua penghulu atau ketua kampung - satu dilantik kerajaan negeri PAS dan satu lagi lantikan kerajaan pusat diterajui BN.

Lihat Komen