malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kelantan nafi lawatan ‘17 exco’ ke New Zealand
ADS

Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan mengenai lawatan 17 exco kerajaan negeri ke New Zealand seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah berkata, sebaliknya lawatan itu adalah perancangan oleh anak syarikat Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan tidak melibatkan mana-mana exco.

"Mengikut apa yang kita faham (lawatan) ini bukan libatkan exco, ini adalah (program) anak syarikat PKB, katanya ada cadangan lawatan ke luar negara.

"Ini susulan koperasi dan pencapaian syarikat meningkat, mungkin ada perkara yang mahu dipelajari (di luar negara). Tapi itu urusan anak syarikat tersebut. Bukan urusan kerajaan negeri.

"Tidak betul mengenai 17 exco, sebab kita pun ada 11 exco saja," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu isu mengenai lawatan ke New Zealand itu muncul di Facebook dengan pelbagai dakwaan dan tafsiran netizen.

Catatan seorang pengguna Facebook memuatkan tangkap layar yang mendakwa, rombongan PKB seramai 17 exco kerajaan negeri akan menyertai lawatan ke New Zealand pada 5 hingga 11 Januari 2020.

Tulisnya, rombongan tersebut akan diuruskan oleh sebuah syarikat ejen pelancongan.

Sementara itu Mohd Amar berkata, pihaknya dan exco kerajaan Kelantan juga tidak mempunyai maklumat mengenai lawatan tersebut.

"Kita dan exco pun tak ada maklumat, sebab itu urusan anak syarikat PKB.

"Setakat saya tahu tiada exco dalam barisan ahli lembaga syarikat tersebut," jelasnya.

Lihat Komen