malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Haniff Khatri dilantik peguam utama kes cabar sekolah Cina, Tamil
ADS

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), yang memfailkan cabaran baru terhadap kesahihan sekolah vernakular, telah melantik Haniff Khatri Abdulla sebagai peguam utama kes saman itu.

Haniff, ketika dihubungi mengesahkan pelantikan itu. Beliau sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai peguam kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengumuman itu dibuat oleh firma guaman Tetuan Amelda Fuad Abi & Adil, yang mengendalikan kes cabaran undang-undang bagi pihak kedua-dua NGO tersebut.

Firma guaman itu, dalam satu kenyataannya berkata pihaknya pada awal hari ini telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saman itu menamakan Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Ia memohon perisytiharan mahkamah bahawa kewujudan sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ia juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan di bawah Akta Pendidikan 1996 yang membolehkan penubuhan sekolah vernakular sebagai tidak sah di sisi perlembagaan.

Selanjutnya, saman itu juga mahu Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah untuk memastikan sekolah vernakular mematuhi Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh enam bulan keputusan mahkamah, jika ia memihak kepada mereka.

Firma undang-undang itu menegaskan bahawa anak guam mereka tidak menentang pembelajaran bahasa ketiga tetapi bukan sebagai bahasa pengantar pengajaran di institusi yang menerima dana awam.

Saman yang diperbaharui itu dilakukan selepas Mahkamah Persekutuan menolak cabaran serupa yang dibawa oleh peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz atas alasan ia sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi.

Haniff juga terlibat dalam satu lagi kes profil tinggi di mana beliau mewakili Muhammed Yusoff Rawther, yang membuat dakwaan salah laku seksual terhadap presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Haniff telah menafikan cadangan bahawa mewakili Yusoff dalam kes itu menunjukkan konspirasi yang melibatkan Dr Mahathir.

Lihat Komen