malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak betul zaman BN lagi makmur dari PH - Khalid
ADS

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan bahawa ekonomi negara hari ini tidak semakmur semasa pentadbiran BN dulu, hingga mengakibatkan ramai hilang pekerjaan.

"Bila dikata dikurangkan perjawatan awam itu tidak mencerminkan keadaan ekonomi negara sebaliknya hanya mencerminkan bahawa adanya peningkatan dari segi efisiensi dan aktiviti di kalangan kakitangan kerajaan dan sebagainya dan juga penggunaan teknologi yang menyebabkan tidak perlu jumlah yang ramai untuk melakukan kerja yang sama,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan Program Jom Balik Sekolah, di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohamad yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sering ‘menjual mimpi’ sedangkan hakikatnya, ekonomi negara sudah tidak semakmur semasa pentadbiran BN hingga menyebabkan ramai rakyat kehilangan pekerjaan.

Mohamad dalam satu kenyataan yang disiarkan melaui Umno Online, merujuk beberapa kejadian, termasuk terbaru mengenai pengecilan operasi Media Prima yang bakal menyaksikan lebih 500 pekerja akan dibuang, katanya semua pemberhentian itu adalah kerana sikap tidak peduli kerajaan.

Malah, mengulas lanjut Khalid berkata apa yang dikatakan tentang perjawatan awam perlu dibezakan antara perjawatan dan penjawat.

“Perjawatan itu adalah kerja-kerja atau tempat-tempat yang telah dikurangkan dan penjawat adalah masih jumlah yang sama, malahan belum ada yang dipenuhi sepenuhnya.

“Jadi, bagi dia nak mengatakan ekonomi negara tak semakmur dan sebagainya oleh kerana di zaman BN segala hutang-hutang disembunyikan dan bila dibuatkan bayaran sekalipun ia disembunyikan serta ditokok tambah dengan hutang-hutang yang baru,” katanya.

Tambah Khalid, kerajaan terdahulu mungkin nampak macam duit banyak namun semua duit tersebut adalah wang yang dipinjam dan perlu dibayar semula.

“Itu yang berlaku di Felda, 1MDB, di Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera, KWSP dan sebagainya. Yang mana nampak dividen tinggi tapi sebenarnya dia gunakan duit simpanan yang sepatutnya tidak disentuh dan digunakan daripada keuntungan yang diperolehi,” tambahnya.

Lihat Komen