malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ini semata-mata rekaan, kata Najib
Diterbitkan:  Dec 16, 2019 1:59 PM
Dikemaskini: 8:45 AM
ADS

Najib Razak menafikan dakwaan bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis Azilah Hadri bahawa beliau mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Bercakap kepada Malaysiakini, bekas perdana menteri juga mempersoalkan mengapa maklumat itu hanya timbul lebih daripada 10 tahun selepas pembunuhan warga Mongolia itu pada tahun 2006.


Pendedahan mengejutkan dari Azilah - ‘Najib arah saya bunuh Altantuya'


Dia mendakwa bahawa ini mungkin komplot oleh pentadbiran Pakatan Harapan untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kelemahan pentadbirannya.

"Ini semata-mata rekaan oleh mereka yang terdesak untuk mengelakkan diri daripada tali gantung.

"Kenapa maklumat ini tidak keluar sebelum ini, tetapi hanya sekarang selepas lebih satu dekad selepas kematiannya dan hanya selepas 19 bulan PH berkuasa?" soalnya.

"Saya percaya ini adalah perjanjian antara kerajaan PH Harapan dan Azilah, yang menjanjikan hukuman mati itu akan dimansuhkan atau ditangguhkan sebagai balasan. Ini adalah percubaan untuk mengalih perhatian dan menyerang saya," katanya.

Najib juga mengekalkan pendiriannya bahawa dia tidak pernah berjumpa dengan Altantuya walaupun Azilah mendakwa sebaliknya dalam akuan berkanunnya (SD).


[Baca SD penuh Azilah di sini]


Selain itu, bekas perdana menteri berkata berkata sesiapa sahaja boleh membuat SD terutamanya jika orang itu menunggu hukuman mati.

"Sekiranya kamu percaya SD itu maka kamu juga harus mempercayai SD terbaru yang dibuat terhadap PM kelapan," katanya merujuk dakwaan salah laku seksual terhadap presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Sambil mengekalkan pendiriannya bahawa dia tidak bersalah, bekas perdana menteri itu juga mengalu-alukan polis membuka siasatan semula mengenai tuduhan terbaru itu dan menyatakan bahawa laporan Malaysiakini awal tahun ini juga pernah memetik sumber polis sebagai berkata tidak ada bukti yang menghubungkannya dengan mana-mana pembunuhan berprofil tinggi.

Malaysiakini melaporkan bahawa Azilah, yang disabitkan bersalah membunuh wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu, membuat dakwaan mengejutkan dari Penjara Kajang.

Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri atau TPM) dan rakan rapatnya Abdul Razak Baginda.

Dalam pengakuan julung-julung kalinya itu, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK.

Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya “keadilan dapat ditegakkan”.

Azilah mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Dalam akuan berkanun (SD) bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya “tangkap dan hapuskan” Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.

“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,” SD itu dipetik.

“Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.’”

Azilah juga mendakwa bahawa dia melihat Najib dan Razak Baginda bertemu Altantuya di sebuah kondominium di London.

[Baca berita asal]


Imbas kembali kes Altantuya: SD dan keterangan mahkamah


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen