malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Imbas kembali kes Altantuya: SD dan keterangan mahkamah
ADS

PANDUANKINI | Kes pembunuhan wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu kembali mencuri perhatian.

Ini susulan pendedahan mengejutkan bekas polis elit Azilah Hadri yang mendakwa pembunuhan itu diarahkan oleh Najib Abdul Razak.


Baca: Ini semata-mata rekaan, kata Najib


Walaupun jenayah itu berlaku 13 tahun lalu, saman sivil kes itu masih berjalan hingga ke hari ini.

Panduankini kali ini akan menyorot kembali tiga persoalan utama: Siapa Altantuya, apa yang berlaku ketika perbicaraan kes bunuh dan bagaimana Najib dikaitkan?

Siapa Altantuya?

Altantuya, 28, ialah kekasih Abdul Razak Baginda, rakan rapat Najib.

Dalam laporan awal, dia dikatakan seorang model.


[Baca SD penuh Azilah di sini]


Bagaimanapun, keterangan dari keluarganya berkata dia bekerja sebagai penterjemah.

Dia mempunyai dua anak, dengan dua pasangan berbeza dari Mongolia.

Kedua-dua anak Altantuya dilahirkan sebelum dia bertemu Razak Baginda - bertentangan dengan laporan yang mengatakan bahawa anak lelaki bongsunya sebagai anak Razak Baginda. Anak lelaki bongsu Altantuya berumur empat tahun ketika ibunya mati.

Apa terjadi padanya?

Altantuya dilaporkan hilang oleh sepupunya pada 19 Oktober 2006 ketika melawat Malaysia.

Pada 6 November, muncul berita melaporkan mayatnya ditemui, selepas diletupkan di kawasan hutan di Puncak Alam.

Pada hari berikutnya, pihak polis dilaporkan menangkap tiga pegawainya. Razak Baginda pula dilaporkan ditangkap pada 8 November tahun itu.


Pendedahan mengejutkan dari Azilah - ‘Najib arah saya bunuh Altantuya'


Minggu berikutnya, 15 November, anggota polis elit Azilah dan Sirul Azhar Umar dituduh membunuh Altantuya.

Pada hari berikutnya, Razak Baginda dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu.

Apa hubungan Razak Baginda dengan Altantuya?

Semasa perbicaraan, didedahkan bahawa hubungan Altantuya dan Razak Baginda bermula pada 2004, dan berakhir pada tahun berikutnya.

Ketika dia datang ke Malaysia pada 2006, Altantuya dilaporkan menuntut AS$500,000 daripada Razak Baginda sebelum menghilang.

Dalam laporan polis yang dibuatnya beberapa jam sebelum dibunuh, dia memberitahu polis untuk menyemak dengan Razak Baginda jika sesuatu berlaku padanya.

Razak Baginda bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan bersubahat, selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes.

Apa Azilah sebut di mahkamah?

Sementara itu, menurut keterangan polis, Azilah membawa penyiasat ke tapak pembunuhan dan memperincikan di mana Altantuya ditembak dan diletupkan.

Azilah berkata dia dihubungi oleh DSP Musa Safri, aide-de-camp Najib ketika itu, untuk membantu Razak Baginda menangani Altantuya. Sirul, menurutnya, dibawa untuk membantu.

Azilah pada 19 Oktober 2006 berkata, Altantuya mencetuskan kekecohan di rumah Razak Baginda. Azilah berkata dia kemudian mengambilnya untuk dibawa ke Bukit Aman.

Dia berkata tiada niat untuk membunuh dan hanya mahu menasihati perempuan itu.

Semasa perjalanan ke Bukit Aman, Azilah mendakwa dia memberitahu Sirul, yang memandu kenderaan, untuk membawa Altantuya ke Bukit Aman kerana dia mempunyai urusan lain.

Azilah berkata kali terakhir dia nampak Altantuya ketika wanita itu masuk ke kereta Jeep Sirul.

Azilah menafikan dia berada bersama Sirul ketika pembunuhan itu berlaku dan berkata dia tiada motif untuk membunuh Altantuya.

Apa pula Sirul sebut di mahkamah?

Sirul, bagaimanapun, berkata ketika diberhentikan di tepi jalan di depan bangunan lama Amanah Raya Bhd dekat Jalan Duta pada malam 19 November 2006, untuk bertemu Azilah, dia pulang ke rumah.

Sirul berkata sebelum itu Azilah memberitahunya bahawa dia berjaya menenangkan Altantuya yang pada malam sama membuat kecoh di rumah Razak. Menurutnya, itu kali terakhir dia mendengar tentang Altantuya.

Sirul juga mendakwa dia diperangkap dalam kes pembunuhan itu dan diperdaya untuk bergambar bersama bukti kes.

Kedua-dua Azilah dan Sirul dijatuhi hukuman mati pada 9 April 2009, walaupun motif pembunuhan itu tidak diputuskan.

Sirul kemudian meninggalkan negara ini antara 2013 dan 2015 sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan kesalahan mereka. Dia kini sedang ditahan oleh imigresen Australia.

Bagaimana Najib dilibatkan?

Semasa perbicaraan, sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg berkata dia pernah ditunjukkan gambar Altantuya bersama Razak Baginda dan Najib.

Najib menafikan pernah bertemu Altantuya.

Bagaimanapun, semasa perbicaraan berjalan, penyiasat persendirian P Balasubramaniam - yang diupah oleh Razak Baginda - membuat akuan berkanun (SD) mengejutkan dengan mengaitkan Najib dengan Altantuya.

Walaupun ia tidak mengaitkan Najib dengan pembunuhan itu, SD itu menyebut Najib - ketika itu timbalan perdana menteri - memberitahu Razak Baginda bahawa kes itu akan “selesai” pada hari dia ditangkap.

Sehari kemudian, pada 4 Julai 2008, Balasubramaniam membuat SD kedua yang menarik balik SD pertama dengan berkata ia dibuat di bawah tekanan.

Balasubramaniam meninggal dunia pada 2013.

Apa yang Sirul sebut tentang Najib?

Sirul, dalam video dari Australia, bersumpah dengan nama tuhan bahawa Najib tidak terlibat dalam kes itu.

Sumber mendakwa terdapat terdapat cubaan merasuah Sirul untuk mengaitkan Najib.

Dalam usaha mendapatkan suaka, Sirul mendakwa dia diarahkan oleh kerajaan untuk membunuh Altantuya kerana dia seorang perisik Rusia.

Dia juga berikrar untuk mendedahkan segala-galanya berkaitan kes itu jika diberikan pengampunan.

Lihat Komen