malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tebing jalan kawasan perumahan di Kulai runtuh
ADS

Hujan lebat yang berterusan sehingga petang tadi mengakibatkan tebing jalan di kawasan perumahan Jalan Sutera 6/1, Taman Sentosa, Saleng, Kulai, dekat Johor Bahru, runtuh.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kulai, PB Mohamad Haitimi Ahmad berkata kejadian pada pukul 4.49 petang itu mengakibatkan dua kenderaan hampir terjatuh dari runtuhan berukuran 100 kaki persegi berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Katanya enam anggota dan satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

“Dua kenderaan yang hampir terjatuh dari runtuhan itu berjaya ditarik ke tempat yang lebih selamat kemudiannya. Ia (kejadian) berlaku disebabkan hujan lebat hingga terdapatnya pergerakan air dalam tanah,” katanya menerusi kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Setakat pukul 9.00 malam ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir dibuka di daerah Kulai susulan hujan lebat, yang menempatkan 113 mangsa daripada 36 keluarga.

- Bernama

Lihat Komen